Iskandar M’sia kumpul RM208 bilion

Iskandar M’sia kumpul RM208 bilion

JOHOR BAHARU, 14 Ogos – Iskandar Malaysia mengumpul sejumlah RM208 bilion pelaburan komited dari 2006 hingga 30 Jun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), berkata daripada pelaburan komited kumulatif itu, 51 peratus atau RM106.43 bilion membabitkan pelaburan yang sudah direalisasikan.

“Dalam tempoh itu, pelabur tempatan menyumbang RM124 bilion manakala 40 peratus (RM84.05 bilion) dari negara asing, yang membuktikan mengenai keyakinan jiran kita dan negara lain di dunia (terhadap Malaysia),” katanya semasa berucap pada pelancaran Greenland Smart City Experiential Centre (SMARTXP) Iskandar Malaysia, Helios Cove, di Permas Jaya, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) mencuba dapur pintar selepas merasmikan Iskandar Malaysia Greenland Smart City Experiential Centre (SMARTXP), Helios Cove. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) mencuba dapur pintar selepas merasmikan Iskandar Malaysia Greenland Smart City Experiential Centre (SMARTXP), Helios Cove. – Bernama

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim dan Pengerusi dan Presiden Kumpulan Greenland, Zhang Yuliang.

Najib berkata pelaburan besar itu membuktikan asas ekonomi negara yang kukuh terutama hasil pengukuhan ekonomi oleh kerajaan menerusi pemansuhan subsidi ke atas petroleum dan gas, melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain mempelbagaikan ekonomi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA