Islam cemerlang di alam Melayu

Islam cemerlang di alam Melayu

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Islam bukan sekadar ajaran yang diguna pakai dalam kehidupan individu seharian tetapi juga dalam urus tadbir pemerintahan negara.

Di negeri Sabah, Malaysia, misalnya sehingga kini masih wujud apa yang dinamakan sebagai Undang-Undang Adat dan Anak Negeri, peninggalan pentadbiran Kesultanan Melayu Brunei, tetapi diperkecilkan skopnya setelah diperkenalkan undang-undang kolonial oleh penguasa North Borneo Chartered Company.

Bagaimanapun, pembinaan sebuah negara bangsa susulan kemerdekaan penjajah barat telah membuka pintu mengembalikan Islam pada kedudukan lebih baik dan dihormati.

Perkara ini ditekankan oleh Datuk Dr Haji Abdul Kadir bin Haji Rosline@ Roslim semasa membentangkan kertas kerja beliau bertajuk ‘KAIB Melestarikan Kecemerlangan Islam di Alam Melayu’ pada Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari kedua, hari ini.

Menurut beliau, KAIB dapat membuka ruang kepada pelbagai kajian dalam pelbagai disiplin ilmu, sains tulen atau sains sosial, selaras dengan luasnya ruang dan skop ajaran Islam itu sendiri.

Datuk Dr Haji Abdul Kadir semasa menyampaikan kertas utama beliau di konferensi KAIB.
Datuk Dr Haji Abdul Kadir semasa menyampaikan kertas utama beliau di konferensi KAIB.
Antara yang hadir pada hari kedua Konferensi Antarabangsa Islam Borneo di UNISSA kelmarin.
Antara yang hadir pada hari kedua Konferensi Antarabangsa Islam Borneo di UNISSA kelmarin.

Sebagaimana sifat Islam menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kejahatan yang bakal merosakkan kehidupan manusia, demikian pula sebarang usaha kajian dan penulisan dalam konferensi KAIB yang mendukung semangat sama.

Beliau seterusnya menjelaskan, ini sama juga hasil kajian yang bukan bersifat akademik atau bersifat objektif tapi ia bakal menonjolkan sifat kebenaran, keadilan yang menjadi elemen penting dalam segenap kajian dan penulisan Islam.

Datuk Dr Haji Abdul Kadir dalam pembentangannya menyentuh empat perkara ke arah melestarikan kecemerlangan Islam di Alam Melayu iaitu ‘Borneo dalam Sejarah Islam’, ‘Inspirasi dan Aspirasi’, ‘sokongan dan Insentif ‘ dan ‘Cabaran dan Cadangan’.

Beliau turut menjelaskan, kajian memerlukan penelitian, tapisan dan pembentangan dalam rangka mengukuhkan dapatan kajian untuk diketengahkan kepada umum.

Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar persidangan ini dijadikan sebagai landasan semangat dan metodologi penyampaian Al-Quran dan hadis.

Menurutnya lagi, dari generasi ke generasi, Al-Quran dibaca dan ditadabuur atau dikaji dan hasilnya bukan saja penemuan baru tapi yang paling penting ialah Al-Quran tidak kehilangan keasliannya daripada umat zaman-berzaman.

Beliau juga secara peribadi melahirkan kebimbangan terhadap generasi masa depan akan kehilangan identiti, tercari-cari susur galur atau asal usul budaya dan ketamadunan mereka.

“KAIB bukan satu usaha nostalgia sejarah semata tapi bermula dari asas sejarah dan usaha kecil adalah untuk mencari dan membina kembali warisan yang hilang,” ujarnya.

Kedatangan Islam ke rantau ini telah meninggalkan sejarah dan pencapaian serta ketamadunan Melayu.

Ia juga ada sejarahnya sendiri sama seperti di Kepulauan Melayu, kemunculan kerajaan Melayu dan Islam merupakan fakta dan penerusan sejarah.

ARTIKEL YANG SAMA