Islam cintakan kedamaian

Islam cintakan kedamaian

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya berpecah belah dan bermusuh-musuhan, sebaliknya menyeru perpaduan dan keamanan.

Jika terdapat anasir-anasir atau ancaman yang hendak merosakkan agama Islam, ia hendaklah ditangani dengan cara yang berhemah bukan dengan keganasan, kekacauan dan berbunuh-bunuhan.

Islam sangat memelihara kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara itu dan seterusnya menjelaskan, Islam agama yang mencintai keamanan di mana Islam tidak menyuruh umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kezaliman, kekerasan dan sebagainya.

Islam menolak apa juga gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan yang menggugat keamanan negara dan dunia.

Dunia sekarang sedang resah gelisah dengan wujudnya kumpulan tertentu yang mengaku Islam tetapi berkelakuan ganas dengan membunuh orang yang tidak berdosa.

Sekarang semua mata dunia tertumpu pada kumpulan yang dilabel sebagai pengganas ini, siapakah mereka dan benarkah mereka itu golongan pejuang Islam?.

Daripada tindakan mereka itu, tegas Khatib, ia langsung tidak menandakan mereka itu sebagai pejuang Islam kerana Islam tidak pernah merestui perbuatan seperti yang mereka lakukan malah menegahnya tetapi malang sekali media utama dunia telah menyebutkan mereka itu adalah golongan Islam yang memperjuangkan Islam dan umat Islam.

Tidak diragukan lagi, ini merupakan fitnah dahsyat terhadap Islam, jelasnya, Islam difitnah selaku agama yang menaja keganasan yang membenarkan pengganas, agama yang tidak peka dengan peri kemanusiaan malah agama yang miskin dengan kasih sayang dan miskin dengan sifat belas kasihan.

Menurut Khatib, ada kalangan mereka turut mendakwa perbuatan dan tindakan pengganas yang dilakukan adalah jihad dan untuk meraih pahala yang besar iaitu masuk syurga.

Memang benar, berjihad itu besar ganjarannya, persoalannya tekan Khatib, adakah benar tindakan pengganasan tersebut boleh dikategorikan sebagi jihad?.

Apa yang nampak pada gerakan tersebut lebih kepada militan yang berjuang mengangkat senjata untuk mencapai matlamat menggulingkan kerajaan yang tidak disukai. Jihad dalam Islam tidak sekali akan membunuh sesuka hati, lebih-lebih lagi jika membunuh sesama Islam.

Walaupun Islam mengajak umatnya berperang menegakkan serta mempertahankan agama, maruah dan harga diri tetapi Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan peperangan. Islam mengawal dan mengajak umatnya supaya nila-nilai keluruhan dan akhlak tetap dipatuhi, walaupun dalam peperangan.

Khatib turut menjelaskan maksud jihad luas, jihad adalah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran.

Ini kerana, usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh ‘Fi Sabilillah’ dapat diusahakan melalui jalan yang aman lagi adil dan bukannya ganas lagi zalim.

Khatib seterusnya menyeru seluruh umat Islam bersatu padu dan sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah (Islam) untuk kekuatan agama Islam.

Elakkan perpecahan dan permusuhan yang boleh melemahkan dan menghancurkan perpaduan umat Islam hingga membolehkan musuh umat Islam memecah belahkan perpaduan dan persaudaraan umat Islam.

ARTIKEL YANG SAMA