Islam pemangkin kemakmuran di alam Melayu

Islam pemangkin kemakmuran di alam Melayu

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Islam adalah pembawa perubahan berupa kemakmuran di alam Melayu dan Islam juga merupakan pemangkin global, menyinari seluruh alam, di mana rantau alam Melayu adalah sebahagian daripadanya.

Kerana Islamlah, alam Melayu berjaya tampil sebagai sebuah tamadun yang gilang-gemilang dan umat Melayu berjaya membina pemerintahan, melaksanakan undang-undang, menyebarkan pendidikan dan merancakkan ekonomi.

Ini dinyatakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Islam Pemangkin Kemakmuran di Alam Melayu’ pada Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI (ICON IMAD VI 2016) yang berlangsung di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa tamadun Melayu tumbuh dalam lingkungan sebuah wilayah yang luas di Asia Tenggara, yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti gugusan kepulauan Melayu, atau gugusan kepulauan Melayu-Indonesia, atau Nusantara, atau Alam Melayu dan Tanah Jawi.

Istilah ‘Melayu’, tegasnya, mempunyai maksud tersendiri dan sesetengah pengkaji memberikan dua makna iaitu rumpun bangsa (bangsa Melayu) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa mereka, dan sifat Melayu dari sudut anutan, budaya dan jati diri.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan kertas perdana pada Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI (ICON IMAD VI 2016) di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan kertas perdana pada Seminar Antarabangsa Islam di Alam Melayu VI (ICON IMAD VI 2016) di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kelmarin.

Kedatangan Islam telah menjadikan tamadun Melayu berubah wajah baru, isi dan kulitnya ditunjangi oleh Islam.

Menurut Yang Berhormat Pehin, yang penting adalah Islam sudah benar-benar wujud di alam Melayu dan kewujudannya itu telah membawa sinar kepada alam Melayu, dan di antara sinar yang sangat-sangat bermakna ialah ‘kemakmuran’.

“Makmur dengan ibadat dan ketaatan kepada Allah, itulah makmur menurut pendekatan Al-Quran.”

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, dengan bertapaknya Islam di alam Melayu, bermakna dunia Melayu sudah jadi makmur, sudah jadi kaya-raya; kaya-raya dengan rahmat, kaya-raya dengan berkat dan kaya-raya dengan cahaya ketuhanan.

Alam atau dunia Melayu, ujar beliau, tidak syak lagi memiliki ciri-ciri kehebatan dan kekuatan semula jadi, umatnya yang berjumlah sangat besar, dijalin pula oleh satu bahasa namanya ‘Bahasa Melayu’.

Variasi dan dialek-dialek Melayu digunakan di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Ia juga dituturkan di Thailand, di Filipina, di Kepulauan Cocos, di Laos dan Sri Lanka.

Ciri-ciri ini, kata Yang Berhormat Pehin, mampu untuk bangsa ini menebarkan kuasa dan pengaruhnya, tetapi dengan syarat, mereka mesti bersatu.

“Tetapi malang, inilah yang kurang dipromosi oleh kita kerana kita lebih sibuk mempromosi lain-lain bidang, lebih mempromosi kerjasama kebudayaan, ekonomi, pertahanan dan lain-lain, tetapi tidak atau jarang-jarang teringat untuk mempromosi perpaduan dan hidup bersatu padu di bawah payung Islam.”

Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa umat Melayu atau bangsa Melayu tidak nampak hebat, tidak nampak gagah dan yang nampak hanyalah umpama buih di laut sahaja, bilangan betul ramai tetapi kurang kualiti.

Malah, tegasnya lagi, bukan umat Melayu Muslim sahaja, bahkan umat Islam di seluruh dunia juga, tidak atau kurang mempromosi perpaduan dan persaudaraan sesama mereka, persaudaraan seagama.

Menurut beliau, kalau orang memahami rahsia persaudaraan seagama nescaya mereka akan mendapati bahawa persaudaraan seagama itu adalah lebih kudus, boleh mengatasi persaudaraan senasab atau Ukhuwah Fi al-Nasab.

Boleh dibuktikan bahawa persaudaraan seagama atau Ukhuwah Fillah itu adalah lebih agung, lebih mulia dan lebih kudus sifatnya daripada persaudaraan senasab.

Yang Berhormat Pehin menegaskan lagi bahawa orang ramai sepatutnya terpanggil untuk mencontohi Sayyidina Abu Bakar dalam menyemarakkan semangat Ukhuwah Fillah, semangat persaudaraan seagama dalam kalangan seluruh umat Islam, khasnya umat Melayu atau bangsa Melayu di alam Melayu.

ARTIKEL YANG SAMA