Islam Wasatiah, bukan Islam sederhana

Islam Wasatiah, bukan Islam sederhana

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Islam wasatiah bukan Islam sederhana, Islam wasatiah adalah Islam tertinggi, Islam terhebat bahkan Islam wasatiah juga bukan menyuruh umatnya lemah tapi menuntut umatnya lebih kuat dan lebih hebat.

Perkara ini dijelaskan oleh Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa membentangkan Kertas Perdana bertajuk ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’ pada Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Majlis Ilmu tersebut adalah sempena Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 tahun.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, ciri-ciri wasatiah adalah tergolong dalam maksud, tertinggi, terbaik, teragung, terunggul, teradil, termulia dan terutama.

Beliau seterusnya menegaskan, agama Islam bukan setakat baik tapi terbaik dan bukan setakat tinggi tapi tertinggi dan bukan setakat unggul bahkan terunggul.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa membentangkan Kertas Perdana pada Majlis Ilmu 2015, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa membentangkan Kertas Perdana pada Majlis Ilmu 2015, kelmarin.

Dalam Kertas Perdananya itu, Yang Berhormat Pehin melahirkan perasaan kecewa apabila kedengaran ada orang mentafsir dengan tafsiran lain, lain daripada tafsiran pakar bahasa dan pakar Ilmu Tafsir.

“Mereka mentafsir wasathan dan khaira itu dengan tafsiran ‘sederhana’ yang bererti umat Islam ini adalah umat sederhana dan agama Islam juga agama sederhana,” jelasnya.

Yang paling mengecewakan lagi, tegas Yang Berhormat Pehin, apabila sederhana itu dihurai sebagai tidak melampau, sebanyak-banyak tolak ansurnya, banyak mengalahnya, banyak bersedia untuk melayani semua kemahuan atau kehendak, walaupun apa yang dimahui itu menyalahi akidah atau menjejaskan maruah.

“Kita melihat tafsiran ini sebagai tidak ada kena mengenanya dengan Islam,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, sifat sederhana sangat dihargai dan digalakkan oleh Islam tapi bukan Islamnya yang sederhana seperti itu, sebaliknya sederhana yang dituntut oleh Islam seperti sederhana dalam perkara makan minum atau dalam perkara berbelanja.

Beliau menegaskan, Islam sebenar bukan ia sederhana tapi ia menuntut supaya segala-galanya mesti terbaik seperti kalau bekerja mesti bekerja bersungguh-sungguh, kalau beribadat beribadatlah bersungguh-sungguh dan bukan sederhana.

Yang Berhormat Pehin turut melahirkan kebimbangan dan seterusnya mengingatkan, istilah sederhana yang disandarkan kepada Islam, kalau silap-silap, ia mungkin beracun dan mampu meracuni kemurnian Islam kerana dengan istilah tersebut, ia membolehkan orang melakukan tawar-menawar.

Wasatiah dan perkembangan semasa

Dalam Kertas Perdananya itu, Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai Islam wasatiah dan perkembangan semasa.

Beliau menjelaskan, dunia sekarang sedang resah gelisah dengan wujudnya kumpulan tertentu yang mengaku Islam tetapi digambarkan sebagai berkelakuan ganas dengan membunuh orang yang tidak berdosa.

Menurutnya, kumpulan tersebut juga mendakwa apa yang dilakukan itu adalah Jihad Fii Sabilillah lalu mereka yang jahil atau kurang ilmu, akan melihat di sini mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan hukum jihad.

“Makanya tidak mustahil umat Islam akan digesa untuk menyemak semula hukum jihad itu seperti mana yang pernah berlaku di India dalam era penjajahan di mana jihad dianggap sebagai tidak lagi wujud atau telah mansuh.”

Yang Berhormat Pehin berkata, sekarang semua mata dunia tertumpu pada kumpulan yang dilabel sebagai kumpulan pengganas ini, siapa mereka dan benarkah mereka itu golongan Muslim?

“Daripada tindak-tanduk mereka, tidak pun menandakan mereka itu Muslim kerana Islam tidak pernah merestui perbuatan seperti yang mereka lakukan, bahkan menegahnya.

“Akan tetapi malang sekali, dunia telah diyakinkan, mereka itu adalah golongan Muslim. Jadi tidak diragukan lagi, ini adalah satu fitnah dahsyat terhadap Islam,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Menurutnya, Islam telah difitnah selaku agama yang menaja keganasan, yang membenarkan pengganasan, agama yang tidak peka dengan peri kemanusiaan, agama yang miskin dengan kasih sayang dan miskin dengan sifat belas kasihan.

Sedangkan kumpulan-kumpulan hak asasi di seluruh dunia telah melaung elemen-elemen kasih sayang dan peri kemanusiaan sebagai paksi perjuangan mereka.

Waspada istilah ciptaan kita

Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Pehin mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan istilah-istilah yang kita cipta sendiri.

“Misalnya, untuk tujuan mengambil hati atau supaya orang suka kepada kita, ataupun kerana kita tidak mahu dianggap seperti ekstrem atau melampau atau tidak moderat, lalu kita pun – walau tidak diminta – dengan secara sukarela akan menamakan diri kita ini sebagai sederhana, umat yang sederhana dan agama Islam juga, agama sederhana,” tegasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, kalau betul penamaan ‘sederhana’ itu dimaksudkan sebagai semata-mata untuk mengambil hati atau supaya orang suka atau kerana takut ditohmah melampau, perkara itu adalah sia-sia belaka malah merugikan.

“Kita tidak perlu gelabah bahkan tidak perlu mengambil hati apatah lagi takut ditohmah, Allah terang-terang menjelaskan perkara ini dalam Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat 120.

“Ini satu ‘deklarasi’ jelas daripada Allah, yang memberitahu kita umat Islam khasnya bahawa; selama mana umat bernama umat Islam dan agama bernama agama Islam, selama itulah, usah diharapkan yang hati-hati di luar Islam akan redha atau bersetuju atau suka kepada umat dan agama yang bernama Islam itu.

“Ini adalah deklarasi Allah, deklarasi bersifat muktamad yang tidak boleh diubah-ubah atau dipinda-pinda,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru kaum cendekiawan Islam dan ulama di seluruh dunia bangun bersama-sama menyahut cabaran di mana mereka perlu bercakap, menulis dan menyebarkan melalui seminar seperti mana yang dibuat pada hari ini.

Menurutnya, inilah cara menurut agama, musuh itu dihadapi dengan penerangan, perdebatan, hujah, dengan alasan atau fakta yang betul dan bernas seperti yang dikehendaki oleh Allah.

“Memang tidak wajar bersetuju orang menuduh Islam sebagai kejam, bengis atau ganas dan adalah sangat keliru untuk menyangka Islam itu sebagai miskin kasih sayang, miskin ihsan dan miskin sifat belas kasihan,” tegasnya.

Dalam perkara ini, perlunya membuktikan dengan hujah, fakta bahawa Islam adalah terkaya dengan sifat peri kemanusiaan, terkaya dengan ihsan, terkaya dengan sifat kasih sayang dan sifat belas kasihan.

ARTIKEL YANG SAMA