ISN ambil langkah hindari virus Zika

ISN ambil langkah hindari virus Zika

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Institut Sukan Negara (ISN) mengambil langkah proaktif dalam memastikan atlet yang membawa cabaran negara di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro terhindar daripada ancaman virus Zika.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Khairi Zawi, berkata ISN akan mengguna pakai secara maksimum semua garis panduan yang dikeluarkan WHO (Per-tubuhan Kesihatan Sedunia) dan Kementerian Kesihatan untuk tujuan pencegahan.

“Untuk menghindari diri daripada gigitan nyamuk, adalah menjadi mandatori kepada semua atlet menggunakan penghalau nyamuk sepanjang masa,” katanya kepada Bernama.

Khairi berkata, ISN juga akan melakukan proses sanitasi bilik penginapan atlet Malaysia sepanjang mereka berada di perkampungan sukan di Rio de Janeiro.

“Selain saranan menggunakan penghalau nyamuk, kita juga akan menggunakan cara tradisional seperti menggunakan kelambu untuk menghindar daripada gigitan nyamuk,” katanya.

Selain itu, semua atlet dan pegawai yang akan ke Rio de Janeiro juga telah diberikan suntikan vaksin demam kuning.

“Suntikan ini adalah wajib kepada semua yang akan ke negara-negara Amerika Selatan,” katanya.

Pada Mei lalu, WHO dalam satu kenyataan, menolak gesaan untuk mengubah lokasi temasya atau menunda Sukan Olimpik Rio de Janeiro berikutan penularan virus Zika.

Sebaliknya, WHO berkata tindakan itu tidak akan mengubah secara ketara penyebaran virus itu, yang dikaitkan dengan kecacatan kelahiran yang serius.

Kira-kira 150 ahli sains antarabangsa dan doktor menulis surat terbuka kepada WHO, meminta temasya di Rio de Janeiro itu ditukar ke lokasi lain atau ditunda akibat penularan virus itu. – Bernama