Israel benar soal-siasat suspek militan

Israel benar soal-siasat suspek militan

BAITULMAQDIS, 4 Ogos (AFP) – Israel akan membenarkan soal-siasat ke atas suspek militan Yahudi, dengan kaedah yang pernah digunakan ke atas tahanan Palestin, selepas serangan maut di Tebing Barat yang dipersalahkan ke atas ultra-nasionalis, menurut seorang menteri semalam.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan berkata akan mula menahan mana-mana warga yang disyaki melakukan keganasan politik ke atas warga Palestin tanpa dibicarakan, satu lagi amalan yang sebelumnya hanya digunakan ke atas suspek Palestin.

Kabinet keselamatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu semakin menerima tekanan supaya bertindak tegas ke atas kumpulan pelampau Yahudi selepas serangan membakar dengan sengaja mengorbankan anak damit Palestin serta mencederakan dengan teruk ibu bapa serta abangnya pada Jumaat lepas.

Menteri Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan berkata kabinet keselamatan yang meluluskan langkah penahanan itu Ahad lepas turut memberi kuasa bagi sesi soal-siasat yang lebih keras.

Menteri Dalam Negeri Israel Gilad Erdan (kiri) ketika sidang media bersama-sama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. – AFP
Menteri Dalam Negeri Israel Gilad Erdan (kiri) ketika sidang media bersama-sama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. – AFP

“Apa yang dimaklumkan kabinet keselamatan kepada perkhidmatan keselamatan kelmarin ialah bahawa semua kaedah adalah dibenarkan,” kata Erdan melalui Radio Israel.

“Kaedah soal-siasat itu seperti ‘tiltul’, atau apa sahaja yang dilakukan apabila suspek adalah warga Palestin – perkara yang sama perlu dilakukan apabila ia membabitkan pengganas Israel,” tambahnya, merujuk kepada terma Hebrew bagi penggunaan goncangan yang kuat ke atas suspek.

Penahanan pertama seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah nasionalis dibuat pada semalam, kata jurucakap polis. Beliau berdepan perbicaraan bagi tahanan reman hari ini.