Israel beri amaran keras terhadap Iran

BAITULMAQDIS, 12 Feb – Israel telah mengeluarkan amaran keras semalam berhubung kehadiran Iran di negara jiran, Syria selepas konfrontasi mengancam akan membuka tempoh baru dan tidak diramalkan dalam perang saudara di negara itu yang telah memasuki tahun ketujuh.

Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran di Syria Sabtu lalu termasuklah apa yang disifatkannya sasaran Iran, kali pertama ia secara terbuka mengakui melakukan sedemikian sejak peperangan bermula.

Serangan dilancarkan selepas sebuah jet pejuang F16 Israel ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara Syria. Juruterbang-juruterbangnya terselamat tetapi itu adalah kehilangan pertama pesawat perang bagi Israel dalam pertempuran sejak tahun 1982.

“Sabtu lalu kami telah mengakibatkan kesan teruk ke atas pasukan Iran dan Syria,” Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pada awal mesyuarat kabinet semalam.

“Kami telah menjelaskan kepada semua bahawa peraturan penglibatan kami tidak akan berubah dengan apa cara sekali pun. Kami akan terus menyerang sesiapa yang cuba menyerang kami. Ini adalah dasar kami dan ini akan tetap menjadi dasar kami.”

Gambar yang diambil pada 11 Februari 2018 menunjukkan sistem pertahanan Kubah Besi Israel, yang dicipta untuk memintas dan memusnahkan roket jarak dekat yang dikerahkan di Dataran Tinggi Golan berhampiran dengan sempadan Syria. Israel telah mengeluarkan amaran keras semalam berhubung kehadiran Iran di negara jiran, Syria. – AFP

Menteri-menteri lain bercakap tentang keengganan menerima Iran untuk mengukuhkan kedudukannya sendiri dari segi ketenteraan di Syria seperti yang telah berulang kali dikatakan oleh Netanyahu. Tehran nafi dakwaan itu.

Sementara beberapa orang penganalisis berkata mereka tidak menjangka peningkatan seterusnya di negara itu, manakala Israel mahu mengekalkan kemampuannya untuk beroperasi di sana bila mana dilihatnya sesuai, menurut Ofer Zalzberg ahli pemikir dari Kumpulan Krisis Antarabangsa.

Israel cuba menjauhi penglibatan langsung dalam perang Syria tetapi ia mengakui melancarkan berbelas-belas serangan udara di sana untuk menghentikan apa yang disifatkannya penghantaran senjata canggih ke kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah.

Israel terlibat dalam peperangan yang memusnahkan dalam tahun 2016 dengan Hizbullah, yang bersama-sama Iran dan Rusia menyokong rejim Syria dalam konflik itu.

“Saya berpendapat insiden ini lebih berkemungkinan akan dikawal kerana pada dasarnya ia perlahan-lahan cuba untuk merundingkan semula peraturan yang dipanggil peraturan permainan,” kata Zalzberg dengan menambah Rusia seharusnya menjadi pihak perantara.

Saksi-saksi berkata Israel telah menghantar sistem pertahanan peluru berpandu di Golan Heights yang diduduki Israel dekat garisan pembatasan dengan Syria pagi semalam. – AFP