Israel berisiko hilang ‘kredibiliti’ – Obama

Israel berisiko hilang ‘kredibiliti’ – Obama

BAITULMAQDIS, 3 Jun (AFP) – Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata dalam temu ramah semalam bahawa Israel berdepan risiko kehilangan “kredibiliti” berhubung pendirian Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengenai pewujudan sebuah negara Palestin.

Obama membuat ulasan itu melalui stesen televisyen Israel sebagai respons pada soalan mengenai komentar Netanyahu berhubung penubuhan atau pembentukan negara Palestin sebelum dan selepas pilihan raya negara Yahudi itu Mac lepas.

Netanyahu mencetuskan keprihatinan antarabangsa apabila beliau menolak penubuhan negara Palestin ketika berkempen bagi pilihan raya umum 17 Mac lepas tetapi kemudiannya berusaha memperbetulkan kenyataannya itu.

“… Bahayanya di sini ialah bahawa Israel secara keseluruhannya kehilangan kredibiliti,” kata Obama dalam temu ramah dengan saluran 2 Israel.

“Apa yang berlaku sekarang ialah masyarakat antarabangsa sudah tidak mempercayai lagi bahawa Israel serius mengenai penyelesaian dua negara.”

Pada Ahad lepas, Netanyahu dilaporkan berkata beliau komited dengan penubuhan negara Palestin, sambil menggesa kepimpinan Palestin supaya kembali ke meja rundingan tanpa sebarang syarat.

Bagaimanapun Obama berkata kenyataan Netanyahu mengenai subjek itu selepas pilihan raya mempunyai “terlalu banyak syarat sehingga ia tidak realistik untuk memikirkan bahawa syarat-syarat tersebut akan dipenuhi bila-bila masa pada masa depan.”

Ketika ditanya mengenai veto AS yang berterusan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas resolusi mengutuk Israel, Obama berkata bahawa kekurangan kemajuan dalam usaha damai akan menyebabkan dasar itu lebih “payah.”