Israel bina dinding pemisah di Tebing Barat

Israel bina dinding pemisah di Tebing Barat

BEIT JALA, wilayah Palestin, 8 April (AFP) – Israel memulakan pembinaan bahagian kontroversi dinding pemisah di wilayah Tebing Barat yang diduduki pada hari ini berhampiran sebuah bandar Kristian Palestin.

Kren dilihat mula mengangkat blok batu setinggi lapan meter untuk dipasang dekat Beit Jala, di selatan Baitulmaqdis dan berhampiran dengan Bethlehem, menurut seorang jurugambar AFP. Bahagian dinding itu akan memutuskan hubungan warga Palestin daripada tanaman zaitun mereka. Datu bandar Beit Jala, Nicola Khamis mengutuk apa yang disifatkannya sebagai rampasan tanah itu.

“Tanah ini untuk keluarga kami, anak-anak kami,” katanya menerusi perbualan telefon daripada jambatan bersebelahan lokasi pembinaan terbabit.

Penduduk Beit Jala bimbang pembinaan itu akan membawa kepada perluasan penempatan haram baharu Israel di Gilo dan Har Gilo. Khamis berkata mereka berharap untuk memerangi pembinaan dinding itu, dengan rancangan strategi permesyuaratan kecemasan, akan tetapi beliau mengakui bahawa mereka tidak mempunyai rayuan selanjutnya dalam sistem undang-undang Israel.

Pekerja Israel meletakkan bahagian baru konkrit penghadang Israel di Lembah Cremisan, bersebelahan dengan bandar Beit Jala, di Tebing Barat yang diduduki Israel, Khamis lalu. – AFP
Pekerja Israel meletakkan bahagian baru konkrit penghadang Israel di Lembah Cremisan, bersebelahan dengan bandar Beit Jala, di Tebing Barat yang diduduki Israel, Khamis lalu. – AFP

Selepas pertempuran undang-undang selama sembilan tahun, mahkamah tinggi Israel memutuskan pada Julai 2015 bahawa dinding itu sah, hanya membuat pembaikkan yang kecil. Israel mula membina tembok dan pagar penghadang di Tebing Barat yang diduduki pada tahun 2002 di kemuncak intifada (kebangkitan) Palestin kedua, dan berkata ia adalah penting untuk keselamatan.

Rakyat Palestin melihatnya sebagai rampasan tanah bertujuan untuk mencuri sebahagian daripada negeri mereka di masa depan dan memanggilnya sebagai ‘dinding pemisah kaum’.