Israel guna akta tahan tanpa bicara

Israel guna akta tahan tanpa bicara

NAZARETH, Israel, 5 Ogos (AFP) – Israel semalam menggunakan akta tahan tanpa bicara ke atas suspek pelampau Yahudi bagi kali pertama berikutan kemarahan berhubung kematian seorang anak damit Palestin setelah rumahnya diserang baru-baru ini.

Penggunaan “tahanan tadbir”, yang sebelumnya dikhususkan ke atas warga Palestin, dibuat ketika pihak berkuasa memberkas seorang lagi suspek pelampau Yahudi dan melanjutkan penahanan pemimpin kumpulan pelampau agama berkenaan.

Tiada seorang pun dari tiga orang berkenaan dituduh dengan pembabitan mereka secara langsung dalam pengeboman dan pembakaran rumah warga Palestin minggu lepas di Tebing Barat yang diduduki, yang menyaksikan anak damit lelaki berusia 18 bulan dibunuh, sekali gus mencetuskan kemarahan antarabangsa berhubung kegagalan Israel mengekang keganasan oleh pelampau peneroka Yahudi.

Tetapi langkah itu kelihatannya seperti sebahagian usaha oleh pihak berkuasa Israel untuk menunjukkan kesungguhan mereka untuk memerangi kumpulan pelampau Yahudi.

Meir Ettinger, ketua kumpulan pelampau Yahudi, dengan aksinya ketika berdiri di Mahkamah Keadilan Israel di Nazareth Illit pada 4 Ogos 2015, sehari selepas penahanannya. – AFP
Meir Ettinger, ketua kumpulan pelampau Yahudi, dengan aksinya ketika berdiri di Mahkamah Keadilan Israel di Nazareth Illit pada 4 Ogos 2015, sehari selepas penahanannya. – AFP

Pada semalam, Menteri Pertahanan Moshe Yaalon menandatangani arahan “tahanan tadbir” ke atas Mordechai Mayer, peneroka Israel yang diberkas kerana “pembabitannya dalam aktiviti keganasan dan serangan pengganas sejak beberapa lama dahulu,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan.

Laporan media menyatakan Peguam Negara sudah memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan seumpama itu ke atas tiga suspek pelampau berkenaan.

Pada masa ini, 379 daripada sejumlah 5,686 banduan Palestin di penjara Israel adalah ditahan mengikut “tahanan tadbir”, menurut statistik rasmi, dan sejumlah besar banduan Palestin bertindak melakukan mogok lapar untuk membantah dasar penahanan tersebut.

Bagaimanapun ia kini boleh digunakan ke atas tahanan Yahudi dalam kes-kes di mana terdapat bukti mencukupi untuk dikemukakan ke muka pengadilan atau jika suspek enggan untuk memberi keterangan.