Israel lepaskan pemogok lapar Palestin

Israel lepaskan pemogok lapar Palestin

RAMALLAH, 29 Jun (AFP) – Banduan Palestin Khader Adnan menamatkan mogok lapar 56 hari semalam selepas Israel bersetuju untuk membebaskannya, menurut pengumuman peguamnya dan Kelab Banduan Palestin.

Adnan, 37, telah ditahan selama setahun di bawah penahanan tadbir, yang membenarkan pemenjaraan tanpa dakwaan untuk tempoh enam bulan yang boleh diperbaharui bagi satu tempoh masa yang tidak pasti.

Mogok laparnya, yang menyebabkannya hampir-hampir mati, telah mencetuskan amaran daripada kerajaan Palestin bahawa Israel bertanggungjawab terhadap nasibnya.

“Khader Adnan menamatkan mogok laparnya pada malam semalam, selepas satu perjanjian dicapai untuk membebaskannya pada 12 Julai,” kata peguam Jawad Boulos.

Beliau berkata doktor di hospital Israel di mana beliau dipindah sedang menimbang cara-cara untuk memberinya makan.

Kelab Banduan Palestin mengesahkan Adnan telah mengakhiri mogok laparnya.

Seorang pegawai Israel mengesahkan Adnan akan dibebaskan pada 12 Julai, memberitahu AFP perjanjian berjaya dicapai selepas Adnan menarik balik permintaannya yang menuntut Israel tidak akan menempatnya di bawah penahanan tadbir.

Pegawai itu berkata keadaan Adnan yang semakin teruk dan rayuan daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan Pihak Berkuasa Palestin telah menyumbang kepada keputusan untuk membebasnya.

Adnan ditahan setahun lalu, sejurus selepas penculikan dan pembunuhan tiga remaja Israel, yang mencetuskan penahanan ratusan penduduk Palestin di Tebing Barat.

ARTIKEL YANG SAMA