Israel longgar sekatan sempena Ramadan

Israel longgar sekatan sempena Ramadan

BAITULMAQDIS, 17 Jun (AFP) – Israel semalam mengumumkan ia melonggarkan sekatan ke atas pergerakan warga Palestin ke dan dari Tebing Barat serta Semenanjung Gaza, menjelang bulan Ramadan yang suci.

Jurucakap COGAT, unit di bawah Kementerian Pertahanan yang menguruskan hal ehwal orang awam di Tebing Barat, berkata ini adalah kali pertama warga Palestin boleh membuat perjalanan dengan bas dari bandar-bandar di Tebing Barat ke kawasan Masjidil Aqsa di timur Baitulmaqdis.

Lelaki berusia lebih 40 tahun dan wanita semua usia dari Tebing Barat dibenarkan menunaikan solat di kawasan suci yang dikawal Israel, dan 800 orang dari Semenanjung Gaza akan dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, 200 penduduk Gaza akan dibenarkan untuk melawat sanak saudara di Tebing Barat sepanjang Ramadan manakala 500 orang dari Tebing Barat diberi kebenaran utuk memasuki Gaza, kata COGAT.

Israel juga akan membenarkan 300 warga Palestin yang tinggal di luar negara melawat sanak saudara di Gaza, dan 500 warga Palestin di Tebing Barat akan dibenarkan membuat perjalanan dari lapangan terbang antarabangsa ben Gurion di Israel.

Jurucakap COGAT memberitahu AFP langkah itu mampu dijalankan berikutan kerjasama yang berterusan di antara Israel dan Pihak berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat, tetapi sebarang pelanggaran peraturan yang ditetapkan akan menerima tindakan yang sewajarnya.

Pada Isnin lepas, Batuk Bandar Hebron di Tebing Barat berkata Israel meluluskan pembukaan semula 70 buah kedai di bandar itu yang ditutup sejak tahun 2000 lagi, selain dua jalan menuju ke selatan.

ARTIKEL YANG SAMA