Israel musnah rumah 36 warga Palestin

Israel musnah rumah 36 warga Palestin

BAITULMUQADDIS, 4 Mac (AFP) – Pasukan Israel memusnahkan berpuluh struktur termasuk sebuah sekolah di utara Tebing Barat minggu ini, mengakibatkan 10 keluarga tanpa rumah, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Pemusnahan itu berlaku pada Rabu di sebuah kampung Khirbet Tana, selatan Nablus di utara Tebing Barat. Sejumlah, 41 struktur telah dimusnahkan, memindahkan 36 warga Palestin termasuk 11 kanak-kanak, kata badan kemanusiaan PBB dalam satu kenyataan.

Askar-askar yang memusnahkan rumah-rumah itu mengatakan ia telah dibina tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Israel.

Warga Palestin dan penyokong mereka mengatakan ia amat sukar bagi mereka untuk memperoleh permit di sebahagian kawasan Tebing Barat yang di bawah kawalan Israel sepenuhnya, dikenali sebagai Kawasan C, yang diperhitungkan kira-kira 60 peratus daripada wilayah itu.

Minggu lalu Kesatuan Eropah membidas pihak berkuasa Israel selepas mereka memusnahkan sebuah sekolah yang dibiayai oleh kerajaan Perancis.

Nickolay Mladenov, penyelaras khas PBB bagi proses perdamaian Timur Tengah, mengatakan bulan lalu bilangan pemusnahan telah meningkat tiga kali ganda sejak permulaan tahun ini.

“Sejak awal 2016, Israel telah memusnahkan, secara puratanya, 29 struktur milik warga Palestin seminggu, tiga kali purata mingguan bagi 2015,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA