Israel perhebat buru pelampau

Israel perhebat buru pelampau

BAITULMAQDIS, 6 Ogos – Israel terus meningkatkan usaha memburu anggota pelampau Yahudi selepas serangan yang mengorbankan seorang anak damit Palestin, dengan seorang suspek menggunakan akta tanpa bicara yang sebelum ini “dikhaskan” kepada warga Palestin.

Polis memberkas tiga suspek pelampau minggu ini, tatkala tekanan semakin meningkat supaya bertindak ke atas mereka yang bertanggungjawab, walaupun tidak seorang pun suspek tersebut dituduh secara terbuka kerana pembabitan dalam serangan berkenaan di kampung Duma di Tebing Barat.

Salah seorang suspek, Mordechai Mayer, peneroka berusia 18 tahun, pada Selasa lepas diletakkan dalam tahanan yang dikategorikan sebagai “tahanan tadbir”, yang membolehkan beliau ditahan tanpa dibicarakan untuk tempoh yang tidak ditetapkan.

Beliau dituduh dalam kenyataan Kementerian Pertahanan kerana pembabitan dalam “aktiviti pengganasan dan serangan pengganas sejak beberapa lama dulu.”

Laporan media menyatakan Peguam Negara sudah memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan seumpama itu ke atas tiga suspek pelampau terbabit.

“Penyiasatan ke atas pembunuhan di kampung Duma adalah pada masa ini menjadi keutamaan polis,” kata seorang jurucakap semalam.

Avi Dichter, bekas ketua perkhidmatan keselamatan dalam negeri Shin Bet, yang menyiasat kes berkenaan, memberitahu radio awam bahawa penggunaan akta berkenaan membolehkan para agen untuk menjalankan soal-siasat dengan lebih menyeluruh terutama apabila suspek enggan bercakap. – AFP