Israel robohkan dua rumah warga Palestin

Israel robohkan dua rumah warga Palestin

BAITULMAQDIS, 4 Ogos – Tentera Israel berkata mereka telah merobohkan rumah dua rakyat Palestin yang menjadi dalang di sebalik serangan maut di Tel Aviv pada bulan Jun.

Pihak tentera berkata rumah Mohammed Mahamra dan Khaled Mahamra di Tebing Barat itu telah dirobohkan awal hari ini.

Dalam serangan Tel Aviv, kedua-dua mereka berpakaian sut hitam, melepaskan tembakan di sebuah restoran di kawasan beli-belah dan tempat makan yang popular.

Empat orang terbunuh dan beberapa yang cedera dalam salah satu serangan paling dahsyat dalam gelombang 10 bulan keganasan Israel-Palestin.

Penyerang ditahan berhampiran tempat kejadian.

Israel berkata perobohan rumah itu merupakan hukuman terhadap penyerang itu. Pengkritik membidas taktik itu sebagai hukuman kolektif. – AP