Israel serbu stesen TV Palestin

Israel serbu stesen TV Palestin

BAITULMUQADDIS, 11 Mac (AFP) – Tentera Israel menggeledah pejabat televisyen Palestine Today di Tebing Barat semalaman dan menahan pengurusnya kerana didakwa menghasut keganasan, kata agensi keselamatan dalaman Israel Shin Bet hari ini.

Operasi yang menyasarkan pejabat stesen Ramallah itu merupakan percubaan terbaru untuk menutup mulut penyiar Palestin yang dipercayai oleh Israel sedang menyemarakkan keganasan lima bulan.

Shin Bet mendakwa saluran televisyen itu “menyiar bagi pihak kumpulan militan Islamic Jihad” dan berkata ia telah menutupnya dalam satu operasi bersama dengan tentera.

“Televisyen itu memberi khidmat kepada Islamic Jihad sebagai alat utama untuk menghasut penduduk Tebing Barat, menggesa serangan ke atas Israel dan rakyatnya.

Hasutan disiarkan di stesen televisyen serta Internet,” katanya dalam kenyataan.

Seorang wanita Palestin memeriksa kerosakan yang berlaku di pejabat televisyen Palestine Today selepas ia diserbu oleh pasukan Israel semalam pada 11 Mac di bandar Ramallah, Tebing Barat. – AFP
Seorang wanita Palestin memeriksa kerosakan yang berlaku di pejabat televisyen Palestine Today selepas ia diserbu oleh pasukan Israel semalam pada 11 Mac di bandar Ramallah, Tebing Barat. – AFP

Tentera Israel juga menahan pengurus Palestin Today, Farooq Aliat, 34, dari Bir Zeit, utara Ramallah. “Seorang anggota Islamic Jihad yang telah dipenjarakan di Israel atas kegiatannya,” tambahnya.

Saluran televisyen itu terus disiar dari Semenanjung Gaza yang dikawal oleh Hamas.

Beberapa siri keganasan telah membunuh 188 penduduk Palestin, 28 warga Israel, dua warga Amerika, seorang warga Eritrea dan seorang warga Sudan sejak 1 Oktober, menurut satu pengiraan AFP.

Kebanyakan penduduk Palestin terbunuh ketika melancarkan serangan pisau, senapang atau rempuhan kereta, kata pihak berkuasa Israel.

Yang lainnya ditembak mati oleh tentera Israel ketika pertempuran atau tunjuk perasaan.

Ramai penganalisis berkata kekecewaan penduduk Palestin dengan pendudukan Israel dan pembinaan penempatan di Tebing Barat, kekurangan kemajuan dalam usaha perdamaian dan kepimpinan mereka yang lemah telah mendorong pergolakan.

Israel menyalah hasutan oleh pemimpin Palestin dan media sebagai punca utama keganasan.