Israel tangkap puluhan rakyat Palestin

Israel tangkap puluhan rakyat Palestin

BAITULMUQADDIS, 10 Okt – Pihak berkuasa Israel telah menangkap puluhan rakyat Palestin selepas amukan tembakan di Baitulmuqaddis yang membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain, kata polis hari ini.

Penangkapan selepas serangan kelmarin itu termasuk 31 rakyat Palestin yang hendak menyertai keraian bagi memperingati penyerang serta anggota keluarganya di timur Baitulmuqaddis, kata Menteri Keselamatan Awam, Gilad Erdan kepada radio tentera.

Kira-kira 15 rakyat Palestin yang lain telah ditangkap kerana membaling batu dan bom botol ke arah pasukan keselamatan di timur Baitulmuqaddis, kata jurucakap polis wanita, Luba Samri.

Penangkapan itu muncul selepas serangan kelmarin yang mana seorang lelaki Palestin berusia 39 tahun telah mengamuk dan melepaskan tembakan dari sebuah kereta di Baitulmuqaddis, dan sekali lagi ketika polis sedang memburunya.

Dua warga Israel terbunuh, termasuk seorang pegawai polis dan wanita berusia 60 tahun. Penyerangnya, Misbah Abu Sbeih dari kawasan Silwan timur Baitulmuqaddis, telah dibunuh oleh polis.

Media Palestin berkata Abu Sbeih dijangka akan memulakan hukuman penjara empat bulan kelmarin setelah menyerang pegawai polis Israel pada 2013. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA