Israel tutup Tebing Barat, Gaza semasa cuti

Israel tutup Tebing Barat, Gaza semasa cuti

BAITULMUQADDIS, 11 Okt – Pihak berkuasa Israel telah menegah rakyat Palestin dari memasuki negara itu dari Tebing Barat yang diduduki atau Semenanjung Gaza menjelang cuti awam Yahudi, Yom Kippur yang bermula pada malam Selasa, menurut pihak tentera.

Penutupan sebegitu sering berlaku semasa cuti awam Yahudi, namun pasukan keselamatan Israel dalam langkah berjaga-jaga berikutan serangan senjata rakyat Palestin di Baitulmuqaddis pada Ahad yang membunuh dua jiwa.

Beribu-ribu penganut Yahudi akan mengunjungi Tembok Barat di Bandar Lama timur Baitulmuqaddis semasa Yom Kippur atau Hari Penebusan, yang berakhir pada malam Rabu.

Penutupan itu berlaku pada hari ini dan Rabu, hanya dikenakan kepada rakyat Palestin dan bukan kepada peneroka Israel seramai 400,000 yang tinggal di Tebing Barat.

Semenanjung Gaza sering dikenakan sekatan Israel, hanya beberapa penyeberangan dibenarkan bagi tugas atau tujuan perubatan.

Menurut tentera lagi, penutupan itu akan dibuka bagi kes kemanusiaan dan perubatan kecemasan.

Lebih 3,000 polis akan bertugas semasa cuti itu di Baitulmuqaddis.

Sementara itu, askar berkata ia telah menghapuskan rumah Tebing Barat milik seorang rakyat Palestin yang dijatuhkan penjara seumur hidup bagi kejadian tembak ke atas pasangan Israel di hadapan kanak-kanak mereka setahun yang lalu.

Rumah Amjad Aliwi, sebuah apartmen di tingkat tinggi di bandar Nablus, Tebing Barat, telah dimusnahkan semalam menggunakan bahan letupan, kata polis Palestin. – AFP