Israel uji pemintas peluru berpandu

Israel uji pemintas peluru berpandu

BAITULMUQADDIS, 10 Dis – Israel dan Amerika Syarikat (AS) hari ini berjaya menguji pemintas peluru berpandu balistik ketika negeri Yahudi itu berusaha untuk mempertingkatkan pertahanannya ekoran ancaman serantau, menurut para pegawai.

Percubaan dari pelbagai ujian Israel melibatkan pemintas Arrow 3, yang direka untuk menembak jatuh peluru berpandu di atmosfera, dengan Israel bimbang berhubung potensi serangan dari musuh termasuk Iran.

Ujian serupa setahun yang lalu berdepan kegagalan, namun percubaan hari ini memintas peluru berpandu balistik disasarkan di ruang udara Mediterranean.

“Ujian yang berjaya ini adalah peristiwa penting yang besar dalam pengerahan Sistem Senjata Arrow dan memberikan keyakinan dalam keupayaan masa depan Israel untuk menewaskan ancaman yang muncul,” menurut kementerian pertahanan Israel.

“Ujian tambahan pemintas Arrow-3 dirancang pada masa depan untuk mendemonstrasikan keupayaan untuk menjadi lebih beroperasi.”

Pemintas peluru berpandu balistik ‘Arrow 3’ dilihat semasa ujian pelancarannya berhampiran Ashdod pada 10 Disember. – Reuters
Pemintas peluru berpandu balistik ‘Arrow 3’ dilihat semasa ujian pelancarannya berhampiran Ashdod pada 10 Disember. – Reuters

Projek Arrow pertama kali dilancarkan pada 1988 sebagai sebahagian daripada program Star Wars pada ketika itu di bawah mendiang presiden AS, Ronald Reagan yang ditinggalkan pada 1993.

Arrow 3, dihasilkan bersama antara Amerika Syarikat dan Israel, adalah bertujuan untuk menjadikan sistem pemintasan peluru berpandu Israel paling teratas.

Sistem pemintasan beraltitud rendah sama ada sudah dikerahkan atau sedikit masa lagi akan beroperasi.

Sebahagiannya dibiayai oleh Amerika Syarikat, sistem Arrow itu telah dikerahkan dan dihasilkan oleh Industri Aeroangkasa Israel dalam perkongsian bersama Boeing.

Israel dengan kerasnya menentang perjanjian nuklear yang dipersetujui pada Julai antara Iran dan kuasa-kuasa besar, membantah ia tidak akan menyekat laluan pesaing serantaunya kepada senjata atom.

Ia juga mengemukakan alasan bahawa pembatalan sekatan di bawah perjanjian itu akan membolehkan Iran untuk selanjutnya menyokong dan mempersenjatai proksi militan di rantau itu.

Amerika Syarikat mengatakan pada awal bulan ini ia sedang melaksanakan satu ‘kajian serius’ mengenai laporan yang Iran telah melaksanakan pusingan baru ujian peluru berpandu balistik yang mencabul resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-UN). – AFP

ARTIKEL YANG SAMA