Israk Mikraj: Peringatan buat umat Islam

Israk Mikraj: Peringatan buat umat Islam

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam (S.A.W) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kemudiannya dimikrajkan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha banyak menggambarkan peristiwa-peristiwa besar dan penting yang hanya berlaku dalam tempoh masa yang pendek.

Perkara ini dijelaskan oleh Penceramah Undangan, Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Melayu Islam Beraja Politeknik Brunei, Haji Mohammad Jaafar bin Haji Johari dalam Majlis Sambutan Israk Mikraj, yang diadakan di Surau Politeknik Brunei, Ong Sum Ping.

Dalam ceramahnya, beliau menyentuh mengenai mukjizat sembahyang lima waktu yang terkandung dalam salah satu peristiwa perjalanan Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. yang mana sembahyang itu merupakan amal ibadat yang mula-mula dihisab di akhirat kelak.

Para penuntut ketika mendengar ceramah mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.
Para penuntut ketika mendengar ceramah mengenai sejarah peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh itu beliau mengingatkan supaya umat Islam tidak lalai menunaikan sembahyang lima waktu kerana segala peristiwa dalam kejadian Israk dan Mikraj itu adalah peringatan daripada Allah kepada hamba-Nya khasnya umat Islam.

Acara keagamaan anjuran Politeknik Brunei dengan sokongan Jabatan Pendaftaran Politeknik Brunei dan Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelajar ini, adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Israk Mikraj serta memperingati hari-hari kebesaran Islam khususnya peristiwa yang terkandung dalam perjalanan Nabi Muhammad S.A.W.

Antara tujuan acara itu juga untuk mengeratkan lagi hubungan antara pensyarah dan para mahasiswa-mahasiswi serta memohon perlindungan Allah S.W.T dengan solat Sunnat Hajat dan Tahlil agar peperiksaan yang akan datang berjalan dengan lancar dan sempurna.

ARTIKEL YANG SAMA