Istana Darussalam bakal jadi tumpuan pelancong

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Bangunan-bangunan bersejarah antaranya Istana Darussalam yang terletak di Kampung Sumbiling turut dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari keenam, hari ini.

Dalam hal itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata, Istana Darussalam mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan penting bagi negara.

Ke arah itu, Istana Darussalam telah diwartakan sebagai salah sebuah monumen yang dilindungi di bawah Akta Purba Kala dan Harta Terpendam 1967 edisi semakan 1994/1991 dan 2002, beliau menambah bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku penghulu Mukim Berakas B yang menekankan bahawa bangunan berkenaan mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancong.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyatakan bahawa kementeriannya melalui Jabatan Muzium-muzium secara terus menerus memberigakan tempat bersejarah berkenaan melalui Jejak Warisan Bandar Seri Begawan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali.

Ke arah ini, monumen-monumen, tapak-tapak warisan yang bersejarah diberikan papan-papan tanda yang mesra pelancong.

Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan melalui Pusat Sejarah Brunei juga telah membuat pendokumentasian bahan mengenai istana-istana yang terdapat di Negara Brunei Darussalam yang mana bahan-bahan berkenaan termasuk penerangan mengenai Istana Darussalam menjadi maklumat atau bahan-bahan panduan untuk para pelawat khususnya jurupandu pelancong dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

Beliau juga berkata, maklumat Istana Darussalam sudah pun dimasukkan ke dalam risalah informasi dan risalah yang diberikan kepada pelancong.

Menurutnya, kementerian difahamkan sebanyak 15 buah agensi pelancongan telah memasukkan Istana Darussalam sebagai pakej pelancongan BSB City Tour.