Istana dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat

Istana dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat

Oleh Yusrin Junaidi, Siti Nur Wasimah S, Salawati Haji Yahya dan Normazlina M.D
Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Istana Nurul Iman telah pun dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama tiga hari bermula hari ini, yang juga dibukakan kepada pengunjung-pengunjung luar untuk mengambil kesempatan menikmati pemandangan dalam Istana Nurul Iman di samping dapat berjunjung ziarah bersama kerabat diraja Brunei.

Kunjungan ‘Istana Terbuka’ di Istana Nurul Iman kelihatan sungguh meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama bagi bersua muka secara dekat bersama raja yang dikasihi sambil mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’.

Kesempatan ini bukan saja dimanfaatkan oleh rakyat dan penduduk di negara ini tetapi juga turut direbut oleh para pelancong luar negara yang secara langsung memberi gambaran kepada mereka tentang hubungan rapat antara pemimpin dan rakyat.

Menyentuh keistimewaan berhari raya ini, Haji Noorishanuddin bin Haji Noor Kaseh, seorang pesakit kurang u-paya dari Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), ketika berkongsi pengalaman berkata, berhari raya di Istana Nurul Iman merupakan satu peluang terbaik bagi rakyat untuk berjunjung ziarah dan bersalaman bersama Baginda serta kerabat yang lain sambil mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada Baginda Sultan.

Katanya, Istana Terbuka ini jarang didapati apatah lagi di tempat lain dan ia hanya berlaku setahun sekali, kerana itu rebutlah peluang berkenaan untuk berkunjung.

Warga kurang upaya dan warga emas melalui laluan khusus untuk berjunjung ziarah bersama kerabat diraja di Istana Nurul Iman.
Warga kurang upaya dan warga emas melalui laluan khusus untuk berjunjung ziarah bersama kerabat diraja di Istana Nurul Iman.
Haji Tamin, 83 tahun berasa teruja kerana dibawa oleh anak dan cucunya ke Istana Nurul Iman.
Haji Tamin, 83 tahun berasa teruja kerana dibawa oleh anak dan cucunya ke Istana Nurul Iman.

Sementara Haji Tamin bin Haji Umar, warga emas berusia 83 tahun berkata, kemeriahan Istana Nurul Iman sangat dirasai bermula menjejaki kaki ke pintu utama istana, dewan bankuet hinggalah ke ruang junjung ziarah.

“Kesempatan untuk berkunjung ke Istana Nurul Iman sempena Hari Raya ini merupakan satu kesempatan istimewa selain dapat bersalaman bersama Baginda dan kerabat yang lain, kita juga dapat menikmati suasana kemeriahan berhari raya,” ujar beliau.

Pengiran Hajah Saidah binti Haji Kula, 74, pula berkata, “Saya berasa sangat gembira melihat suasana istana yang meriah serta orang ramai yang berpusu-pusu ingin menemui pemimpin kita. Sebenarnya, tahun ini adalah kali pertama saya turun ke Istana Nurul Iman bersama keluarga. Sebelum ini, saya banyak mendengar daripada cerita saudara-mara. Jadi, saya ingin Aidilfitri kali ini lebih bererti dengan mengunjungi Istana Nurul Iman serta menemui kerabat diraja. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pemimpin kita, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lainnya.”

Dayang Sarinah binti Haji Kadir, 32, yang berasal dari Kampung Setia semasa ditemui pihak media, menyatakan bahawa ini adalah merupakan kali pertama beliau bersama anak dan ibunya berkunjung ke rumah terbuka Istana Nurul Iman.

Beliau menjelaskan bahawa beliau sudah mula berada di Istana Nurul Iman sejak pukul 1:30 petang yang juga disertai oleh ahli kaum keluarga beliau yang lainnya.

Katanya lagi, beliau sangat gembira atas peluang yang diberikan untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain dan berharap dapat berkunjung lagi pada tahun yang akan datang.

Manakala menurut Awang Mohd Azam bin Abdullah Zailaini, 13, semasa ditemui pihak Media Permata melahirkan perasaan gembira dan bersemangat apabila dapat berkunjung ke Istana Nurul Iman bersama keluarganya.

Dayang Nurul Hanisah serta keluarga semasa ditemui di Istana Nurul Iman.
Dayang Nurul Hanisah serta keluarga semasa ditemui di Istana Nurul Iman.

Menurut ibunya pula, Dayang Nurul Hanisah binti Ibrahim, mereka sudah mula berada di Istana Nurul Iman sejak jam 9 pagi lagi dan kemudian meneruskan kunjungan lagi pada sebelah petang bagi memberikan peluang untuk anak-anak beliau mengikuti junjung ziarah.

Sementara itu, salah seorang pengunjung dari China, Shin Jing Yi yang melancong di negara ini buat pertama kali, berkata beliau mengambil peluang keemasan untuk berada di negara ini semasa sambutan Hari Raya diadakan, di mana Istana Nurul Iman telah pun dibukakan kepada orang ramai.

Shin Jing Yi bersama Carina dan Veronica, yang berada di negara ini menunggu giliran untuk berjunjung ziarah bersama kerabat diraja.
Shin Jing Yi bersama Carina dan Veronica, yang berada di negara ini menunggu giliran untuk berjunjung ziarah bersama kerabat diraja.

Shin Jing Yi berasa terpegun dengan keindahan dan suasana di sekitar Istana Nurul Iman dan terharu dengan sifat raja Brunei yang prihatin terhadap rakyat dan pengunjung-pengunjung yang mana para pengunjung diberi makanan yang istimewa sambil menunggu giliran berjunjung ziarah dengan kerabat diraja Brunei.

Seorang warga Britain yang berasal dari United Kingdom (UK), Oliver pula menjelaskan sebagai seorang warga asing rasanya tidak mudah untuk berjumpa dengan kerabat diraja seperti di UK, di mana tidak mudah bagi mereka untuk bertemu dengan kerabat diraja di sana.

Namun di Brunei katanya, rajanya amat penyayang dan berjiwa rakyat, dan telah pun membuka peluang orang ramai termasuk warga asing untuk masuk ke Istana Nurul Iman dan seterusnya bersua muka dengan kerabat diraja bukan seperti negara lain.

Oliver berharap warga-warga asing seperti warga Britain yang lain akan dapat berkunjung ke negara Islam ini agar dapat mengubah perspektif sebilangan mereka yang memandang rendah terhadap negara Islam yang mana pada hakikatnya Negara Brunei Darussalam adalah jauh lebih baik dan beruntung kerana mempunyai raja yang amat memeduli dan prihatin akan rakyatnya, jelasnya.

Manakala dua orang pengunjung dari Filipina, Carina dan Veronica berasa amat bertuah dan beruntung kerana dapat masuk ke Istana Nurul Iman dan mengambil peluang untuk berjumpa kerabat diraja semasa musim cuti kerja diberikan.

ARTIKEL YANG SAMA