Istana, Yuan Thong berentap di final

Istana, Yuan Thong berentap di final

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Pasukan Istana Maintenance Department menempah tempat di perlawanan akhir Kejohanan Bola Keranjang Sukan Ria Antara Syarikat apabila berjaya menumpaskan saingannya Pasukan Digimark pada peringkat separuh kejohanan itu di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat hari ini.

Pasukan Istana Maintenance Department sebelum ini melalui laluan yang mudah di dalam kejohanan kali ini apabila berjaya menjuarai Kumpulan A dan menang di dalam kesemua perlawanannya dan sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraannya tahun lalu.

Pasukan Istana Maintenance Department menewaskan Pasukan Digimark yang merupakan naib juara Kumpulan C dengan mata 20-25 pada suku pertama, 30-16 pada suku kedua, 31-22 pada suku ketiga dan 28-24 pada suku terakhir menjadikan kedudukan keseluruhan 109–86.

Sementara itu pasukan kedua menempah laluan ke akhir yang bakal berlangsung pada hari terakhir Pesta Sukan Ria Antara Syarikat bagi tahun ini adalah Pasukan Yuan Thong Enterprise yang menewaskan Pasukan D’sunlit.

Antara aksi dalam perlawanan separuh akhir hari ini.
Antara aksi dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

Pada perlawanan separuh akhir kedua itu Pasukan Yuan Thong Enterprise menundukkan Pasukan D’sunlit dengan mata 18-25 pada suku pertama, 26-20 pada suku kedua, 18-15 pada suku ketiga dan 16-13 pada suku keempat dengan mata penuh 88-73 di pihak Yuan Thong Enterprise.

Perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga akan berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa di Ibu negara pada 22 Mei 2016 sebelum majlis penutupan rasmi Sukan Ria Antara Syarikat yang dianjurkan Jabatan Buruh dengan kerjasama D’Sunlit.

Sejurus selepas perlawanan berakhir, Ketua Pasukan Yuan Thong Enterprise, Benjamin Sim berkata, perlawanan akhir merupakan impian mereka apatah lagi berhadapan dengan pasukan yang menewaskan mereka pada peringkat separuh akhir tahun lalu.

“Kami sangat berpuas hati dengan pencapaian ini dan akan mencuba yang terbaik untuk menebus kekalahan tahun lalu dan menjangka perlawanan akhir itu pasti menyeronokkan,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA