Isteri jadi mangsa akibat syabu

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Kerana ingin membeli syabu, seorang suami yang sanggup melibatkan isterinya dalam aktiviti pelacuran dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Mohd Fakhrullah Ajwad bin Abdullah Nyawai, 26, mengaku bersalah kerana melibatkan isteri yang dikahwininya sejak Disember 2009 untuk aktiviti pelacuran di Perumahan Negara Kampung Rimba antara Februari dan Jun 2017.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid ketika menjatuhkan hukuman berkata, hukuman penjara adalah sesuai untuk melindungi wanita daripada mangsa pelacuran.

“Apa yang dilakukan tertuduh tidak dapat diterima oleh mahkamah, lebih-lebih lagi mangsa adalah isterinya sendiri,” tegas Majistret Dewi Norlelawati.

Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali memaklumkan mahkamah bahawa mangsa yang berusia 29 tahun membuat laporan polis pada Julai 2017.

Siasatan polis mendapati antara bulan Februari dan Jun 2017, tertuduh telah mendapatkan tiga orang pelanggan untuk melanggani isterinya.

Wang yang diperolehi itu digunakan tertuduh untuk membeli syabu.