Isteri Johnny Depp elak hukuman penjara

Isteri Johnny Depp elak hukuman penjara

SYDNEY, 18 April (AP) – Isteri kepada pelakon Johnny Depp, Amber Heard mengaku bersalah hari ini kerana memberikan dokumen imigresen palsu di tengah dakwaan bahawa dia telah menyeludup anjing-anjing pasangan suami isteri ini ke Australia, tetapi mengelak hukuman penjara bagi apa yang digelar kekecohan ‘perjuangan untuk anjing terrier’.

Pihak pendakwa telah menggugurkan dua lagi tuduhan serius bahawa Heard secara haram mengimport anjing terrier Yorkshire, Pistol dan Boo, ke negara itu tahun lalu, apabila Depp terlibat dalam penggambaran filem kelima dalam siri-siri Pirates of the Caribbean”. Pendakwaan ke atas pertuduhan pengimportan haram boleh mengakibatkan aktres itu meringkuk dalam penjara selama 10 tahun.

Tuduhan dokumen palsu boleh membawa hukuman maksimum setahun dalam penjara dan denda lebih 10,000 dolar Australia, tetapi Majistret Bernandette Callaghan sebaliknya menghukum Heard dengan perjanjian berkelakuan baik selama sebulan. Syarat itu bermakna dia akan terpaksa membayar AU$1,000 jika dia melakukan sebarang kesalahan di Australia dalam tempoh bulan akan datang.

Depp dan Heard tidak banyak bercakap kepada wartawan-wartawan dan juga para peminat yang menanti di luar Mahkamah Majistret Southport di Gold Coast, negeri Queensland, tetapi menyerahkan video rakaman permohonan maaf kepada mahkamah yang dimainkan ketika perbicaraan hari ini.

“Apabila undang-undang Australia tidak dihormati,” Depp yang nampak suram berkata dalam video itu “undang-undang Australia akan menyatakan kepada anda dengan tegasnya.”

Drama berhubung anjing-anjing itu bermula Mei lalu, apabila Menteri Pertanian Barnaby Joyce menuduh Depp menyeludup anjing kecil terrier dengan membawanya menaiki jet peribadinya, apabila dia pulang ke Australia untuk menyambung penggambaran filem ‘Pirates’.

ARTIKEL YANG SAMA