Isteri pegawai TNI-AL kunjungi Daerah Tutong

Isteri pegawai TNI-AL kunjungi Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 6 Sept – Sebagai sebahagian daripada atur cara sempena lawatan pengenalan daripada Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Laksamana Ade Supandi ke Negara Brunei Darussalam bermula 4 September lalu hingga hari ini, isteri pegawai TNI-AL dan rombongan kelmarin mengadakan lawatan ke Daerah Tutong.

Rombongan diketuai oleh isteri Laksamana TNI-AL, Dra. Endah Esti Hartanti Ningsih, dan isteri pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Haji Kahar. Lawatan ke tempat-tempat menarik di Daerah Tutong itu merupakan salah satu atur cara yang telah dirancang awal oleh pihak TLDB bagi mengalu-alukan lawatan pegawai-pegawai TNI-AL bersama isteri ke negara ini.

Ketibaan rombongan di Pejabat Daerah Tutong telah dialu-alukan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta ahli-ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Isteri pegawai TNI-AL bergambar ramai bersama semasa lawatan tersebut.
Isteri pegawai TNI-AL bergambar ramai bersama semasa lawatan tersebut.

Sebelum rombongan dibawa melawat ke Galeri Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Tutong, taklimat ringkas mengenai latar belakang, fungsi dan peranan Jabatan Daerah Tutong telah disampaikan oleh Dayang Alia Nurzahra binti Abdullah Api. Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke Tasbee Meliponiculture Farm, Majlis Perundingan Kampung Sungai Kelugos yang mengusahakan produk madu kelulut hasil usaha Awang Mitasby bin Haji Mamit.

Rombongan kemudian melawat tempat pemprosesan Teh Herba 3MPK, Kampung Kiudang, di mana ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohammad Saiful bin Abdullah Anja, dan pengusaha teh herba, Haji Amran bin Haji Johari.Lawatan berakhir di Perusahaan Minyak Kelapa Dara (VCO) Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya yang dimiliki oleh Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.

Lawatan ini diharapkan akan dapat merapatkan lagi jalinan muhibah di antara TLDB dan TNI-AL sekali gus memperkenalkan tempat-tempat menarik di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA