Isteri, profesor dalam ‘senarai bunuh’ penembak AS

Isteri, profesor dalam ‘senarai bunuh’ penembak AS

LOS ANGELES, 3 Jun – Seorang lelaki bersenjata yang me-nembak mati seorang profesor yang juga rakan sekerjanya di kolej di California sebelum membunuh dirinya sendiri juga telah membunuh isterinya yang termasuk dalam ‘senarai bunuh’, menurut pihak berkuasa dan laporan media.

Mainak Sarkar, 33 tahun membunuh Ashley Hasti di Minnesota kemudian memandu sejauh 2,000 batu ke Los Angeles yang mana di situ dia telah menembak bekas profesornya William Klung Rabu lalu, menurut polis dan media setempat.

Anggota keselamatan memeriksa orang yang berada di kampus Universiti California Los Angeles selepas dua orang disahkan mati selepas tembakan di kawasan itu, Rabu lalu di Los Angeles, California. - AFP
Anggota keselamatan memeriksa orang yang berada di kampus Universiti California Los Angeles selepas dua orang disahkan mati selepas tembakan di kawasan itu, Rabu lalu di Los Angeles, California. – AFP

Para pegawai di wilayah He-nnepin, di negeri barat tengah Minnesota berkata Hasti dan Sarkar berkahwin pada 14 Jun 2011. Tidak jelas jika pasangan suami isteri itu masih berkahwin pada ketika kematian mereka.

Klug, 39 tahun, ayah kepada dua orang anak itu yang mengajar dalam jurusan mekanikal dan kejuruteraan aeroangkasa di Universiti California Los Angeles (UCLA), ditembak mati di pejabatnya di kampus sebelum Sarkar membunuh dirinya sendiri, menurut polis.

Sekeping nota dalam beg galas Sarkar – yang mana dia meminta seseorang menjaga kucingnya – telah membantu polis mengetahui rumahnya di Minnesota, yang mana ‘senarai bunuh’ telah ditemui, ketua polis Los Angeles Charlie Beck memberitahu para pemberita.

Menurutnya Klug dalam senarai itu bersama-sama seorang lagi profesor UCLA dan wanita yang dibunuh itu, iaitu Hasti. Dia ditemui mati dengan kecederaan akibat tembakan senjata di rumahnya di bandar kecil Minnesota, Brooklyn Park.

Beck berkata para penyiasat percaya Sarkar membunuhnya pada awal minggu ini sebelum memandu menuju Los Angeles untuk meneruskan amukannya, bersenjatakan dua pistol semi automatik dan beberapa gulung peluru.

Menurutnya Sarkar yakin Klug telah mencuri kod komputernya dan memberikannya kepada orang lain, dan nampaknya menyimpan dendam. – AFP