Isteri remaja didakwa atas kaitan pengganasan

Isteri remaja didakwa atas kaitan pengganasan

SYDNEY, 23 Feb (AFP) – Polis Australia hari ini mendakwa seorang remaja perempuan atas kesalahan berkaitan keganasan, sebulan selepas seorang lagi remaja yang dilaporkan suaminya telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan sama.

Remaja perempuan itu dari pinggir bandar Sydney yang telah diberkas pada hari ini, adalah antara beberapa orang remaja yang didakwa dalam beberapa bulan kebelakangan berhubung komplot yang disyaki, ketika para pegawai Australia semakin bimbang dengan faham pelampau di negara sendiri.

Pasukan Bersama Memerangi Pengganasan Negeri New South Wales (JCTT) berkata ia mendakwa remaja perempuan itu dengan pertuduhan ‘tanpa mengendahkan memiliki sesuatu yang berkaitan dengan tindakan pengganas dan tanpa mengendahkan mengumpul dokumen berkaitan tindakan pengganas.”

Timbalan Pesuruhjaya polis negeri Catherine Burn berkata dakwaan itu berkaitan dengan kes sebelumnya yang melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menurut laporan akhbar dikenal pasti sebagai suami remaja perempuan itu.

“Kami akan mendakwa bahawa benda yang dimilikinya adalah sebilah pisau dan kami akan mendakwa bahawa dokumen yang kami telah kami perolehi adalah berkaitan tindakan itu juga,” kata Burn.

Penangkapannya dibuat sebulan selepas remaja lelaki yang dilaporkan suaminya, Sameh Bayde dihadapkan ke mahkamah Sydney atas tiga pertuduhan mengumpul dokumen yang mungkin memudahkan tindakan pengganas, dilaporkan termasuklah bimbingan untuk melakukan penikaman dan membuat bom.

Oktober lalu, remaja lelaki berusia 15 tahun menembak mati seorang kakitangan awam di luar ibu pejabat polis di barat Sydney sebelum dibunuh dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan para pegawai.

Burn berkata penyiasatan sedang dijalankan dan ‘jika terdapat orang lain yang terlibat kami akan menghadapkan mereka ke mahkamah juga.”

ARTIKEL YANG SAMA