Isteri tinggalkan rumah, keluarga

Isteri tinggalkan rumah, keluarga

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 7 Okt – Seorang suami sempat merasa masakan tengah hari isterinya buat kali terakhir pada September lepas, sebelum isterinya Rosmah Limon, 39, dari Kampung Mengatai di sini meninggalkan rumah tanpa khabar berita sehingga hari ini.

Laporan polis mengenai kehilangan isterinya dibuat suaminya Kamis Bakir, 45, dari Kampung Mengatai dekat sini, pada Isnin lepas selepas isterinya tidak pulang ke pangkuan mereka sekeluarga.

Menurut Kamis, isterinya sempat memasak makanan untuk sarapan pagi dan tengah hari sebelum meninggalkan rumah pada tengah hari 29 September lalu.

Bagaimanapun kehilangan isterinya disedari sebaik dia bangun tidur selepas makan dan melihat isterinya tiada di rumah.

Beliau mengetahui isterinya meninggalkan rumah selepas melihat pasport milik isterinya tiada dan beberapa pakaian milik isterinya yang disimpan dalam almari juga hilang.

pg13_151008_b

Pemangku Timbalan Ketua Balai Polis Limbang Sarjan Junau Menggin berkata Rosmah juga tidak berkelakuan pelik dan dikatakan tidak kelihatan membawa beg ketika itu.

“Suami Rosmah ada menghubungi isterinya tetapi tidak dapat kerana telefon isterinya sudah tidak dapat dihubungi.

Mengulas lanjut Sarjan Junau berkata lagi, tiada pertengkaran dan masalah kewangan yang dihadapi pasangan suami isteri tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati kemungkinan Rosmah sudah meninggalkan Limbang dan mengikut ‘seseorang’,” ujarnya lagi.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mengenali Rosmah agar menghubungi balai polis Limbang di talian 085-211717 atau menghubungi Sarjan Junau di talian 019-8149895.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.