Istiadat Membuka Naubat

Istiadat Membuka Naubat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Majlis Istiadat Membuka Naubat yang ditutup atas kemangkatan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan dilaksanakan di Lapau, ibu negara hari ini.

Majlis Istiadat Membuka Naubat itu disempurnakan di hadapan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Majlis diserikan dengan bacaan tahlil dipimpin oleh Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Sementara itu, Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Ia disusuli sembahyang fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Salim ketika mengimamkan sembahyang fardu Maghrib di Lapau.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Salim ketika mengimamkan sembahyang fardu Maghrib di Lapau.
Majlis Istiadat Membuka Naubat berlangsung di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Majlis Istiadat Membuka Naubat berlangsung di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Hamid membacakan Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Hamid membacakan Doa Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Selesai majlis istiadat di Lapau itu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan, Pehin-Pehin Khatib, Begawan Pehin-Pehin Khatib, Manteri Istana dan Manteri Hulubalang bertolak ke Istana Nurul Iman untuk mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Majlis Istiadat Naubat kini dibuka semula setelah ditutup selama 40 hari bermula 16 Oktober 2016 hingga hari ini atas kemangkatan Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar.

Berangkat dan hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran Peranakan, Yang Dimuliakan pehin-pehin dan para jemputan.

Al-Marhumah Yang Teramat Mulia Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar kembali ke rahmatullah pada 16 Oktober 2016, jam 5:45 pagi, di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada usia 88 tahun.

Semasa hayatnya, Al-Marhumah YTM Pengiran Babu Raja dikurniakan dengan beberapa bintang kebesaran dan pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam, Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK), Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (DSLJ) dan Pingat Hassanal Bolkiah Sultan (PHBS).

Al-Marhumah YTM Pengiran Babu Raja berkahwin dengan Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam pada tahun 1943 dan dikurniakan dengan sembilan orang anak, 37 orang cucu dan 29 orang cicit.

ARTIKEL YANG SAMA