Istimewa, keunikan tongkat ciptaan Abu Samah

Istimewa, keunikan tongkat ciptaan Abu Samah

Oleh Lenna N.B.

 

TONGKAT kayu adalah salah satu kraf tradisi yang dikenali sejak ribuan tahun lalu. Ia berperanan menjadi alat bantu orang-orang yang mengalami masalah kaki lemah bagi memudahkan mereka melangkah dan berjalan.

Malah, sewaktu kita mendaki bukit pun, kita seringkali mencari kayu tertentu yang boleh dijadikan tongkat dan memudahkan pendakian. Sejarah tongkat kayu mungkin sudah wujud sejak zaman primitif lagi, kemudian ia berkembang menjadi hasil kraf tangan sehinggalah ke hari ini.

Menariknya, kraf-kraf tongkat kayu ini diperbuat daripada pelbagai jenis kayu, masing-masingnya mempunyai manfaat dan faedah yang dipercayai oleh masyarakat tradisi. Begitulah yang dikongsikan oleh Abu Samah bin Haji Damit, 60, seorang tukang pembuatan tongkat tempatan.

Bermula dari bunga Orkid

Pada 15 tahun lalu, Abu Samah masih bertugas di Jabatan Kerja Raya, dan mengambil keputusan untuk berhenti demi memulakan perniagaannya sendiri. Dengan melakukan kajian dan penyelidikan, beliau bermula dalam perniagaan bahagian bunga hutan, khususnya orkid.

Abu Samah bin Haji Damit, 60, seorang tukang pembuatan tongkat tempatan.
Abu Samah bin Haji Damit, 60, seorang tukang pembuatan tongkat tempatan.
Tongkat kayu Arang yang dipercayai oleh masyarakat tradisi mempunyai keajaiban memyembunyikan kediaman si pemakainya daripada pengunjung.
Tongkat kayu Arang yang dipercayai oleh masyarakat tradisi mempunyai keajaiban memyembunyikan kediaman si pemakainya daripada pengunjung.
Abu Samah ketika sedang bertukang kayu di belakang rumahnya.
Abu Samah ketika sedang bertukang kayu di belakang rumahnya.
Proses menghalusi permukaan kayu.
Proses menghalusi permukaan kayu.

“Saya ada bertanya dengan kawan-kawan yang sama-sama menjual bunga orkid, tetapi maklumat yang diberikan hanyalah terhad, sehingga akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat kajian sendiri secara online dan juga buku-buku yang berkenaan. Alhamdulillah dengan pengetahuan yang ada, perniagaan saya berkembang maju setelah tiga tahun,” jelas Abu Samah.

Namun, kegiatan perniagaan orkid hutan Abu Samah terhenti begitu sahaja apabila berlakunya kejadian kecurian terhadap satu-satunya kenderaan miliknya, yang digunakan untuk berniaga. Abu Samah kemudiannya terpaksa berhenti daripada berniaga.

“Atas nasihat kakak saya, saya kemudiannya cuba memberanikan diri menceburi dalam bidang pertukangan tongkat. Saya cuba bertanya-tanya rakan-rakan yang memang berada di bidang pertukangan ini, namun seperti biasa, saya perlu membuat banyak pembacaan dan rujukan sebanyak mungkin untuk memahami sendiri tentang jenis kayu, nama kayu, manfaatnya dan sebagainya.”

Abu Samah memang tidak mempunyai latar di bidang pertukangan kayu. Namun, semangatnya untuk belajar tidak pernah putus. Setelah mencuba dan belajar secara sendiri, Abu Samah akhirnya berjaya menghasilkan tiga tongkat kayu, yang ketiga-tiganya telah dibeli. Dari situ, beliau melihat adanya sambutan dalam bidang perniagaan ini. Kini, kira-kira sudah lima tahun beliau menceburi di bidang ini, yang bukan sahaja dalam pertukangan tongkat kayu, tetapi juga parang, keris, dan sebagainya.

Rahsia sebalik tongkat

Tongkat-tongkat menurut Abu Samah mempunyai rahsia dan keistimewaannya sendiri mengikut bahan-bahan kayu yang digunakannya. Tongkat kayu Limpanas misalnya turut dikenali juga di Malaysia sebagai kayu Tas. Ia mempunyai bau yang kuat dan ditakuti oleh binatang-binatang buas seperti ular, anjing, dan lain-lain. Kayu Limpanas menurutnya mempunyai dua jenis, kayu yang agak cerah warnanya dinamakan sebagai Limpanas Bini dan kayu yang agak gelap pula dinamakan sebagai Limpanas Laki.

Aneka jenis tongkat kayu ciptaan Abu Samah.
Aneka jenis tongkat kayu ciptaan Abu Samah.
Keris dan parang yang turut dihasilkan oleh Abu Samah sendiri.
Keris dan parang yang turut dihasilkan oleh Abu Samah sendiri.
Tongkat Kayu Tolong-Tolong yang tidak akan mereput walau di dalam tanah lebih 200 tahun.
Tongkat Kayu Tolong-Tolong yang tidak akan mereput walau di dalam tanah lebih 200 tahun.

“Orang Kedayan memanggilnya sebagai ‘kayu lakum’. Saya masih ingat semasa saya kecil berusia berbelasan tahun, ibu telah menunu (membakar) kayu lakum tersebut. Kata ibu, ia adalah bertujuan untuk menghentikan ribut. Macam-macam kepercayaan masyarakat dahulu tetapi apabila membesar, barulah saya tahu ia hanyalah kepercayaan semata-mata. Namun, ada kebenaran bahawa kayu limpanas mampu menghalau binatang buas oleh kerana ia tidak suka baunya. Oleh itu, banyak antara pendaki bukit atau mereka yang suka joging membeli kayu limpanas sebagai perlindungan daripada binatang buas.”

Manakala, kayu tongkat bidara mempunyai manfaat yang sama dengan daunnya. Ia adalah tumbuhan yang tidak disukai oleh jin-jin atau makhluk yang jahat. Apatah lagi apabila ia dibacakan dengan ayat-ayat Al-Quran. Ia mampu menjadi perlindungan daripada makhluk-makhluk tersebut.

Agak menarik adalah jenis kayu Madang yang mencapai 20 jenis, antaranya adalah Madang Berunok, Madang Hitam, Madang Rumahan dan sebagainya yang masing-masing mempunyai warna, tekstur dan bentuk yang berbeza. Antara jenis kayu Madang yang agak dikenali adalah kayu Madang Sisik kerana daya ketahanannya yang kuat. Malah, ia digelar di Brunei sebagai raja kayu, sering kali disimpan dalam rumah, perahu dan lain-lain. Jenis kayu ini juga tidak begitu disukai oleh anai-anai.

Satu lagi jenis tongkat yang agak unik adalah Tongkat Kayu Tolong-Tolong yang tidak akan buruk walaupun disimpan dalam tanah hingga 200 tahun. Masyarakat Malaysia menganggap kayu ini sebagai raja segala kayu kerana manfaat di sebaliknya, dan dipercayai mampu menjadi penghalang kepada angin ahmar.

Manakala kayu Arang pula berwarna kehitam-hitaman seakan arang. Menurut Abu Samah, masyarakat tradisi percaya kayu ini mempunyai kuasa ajaib bahawa rumah si pemakai atau penggunanya tidak akan dapat ditemui apabila ada seseorang ingin berkunjung ke kediamannya. Namun, mengikut logik akal, Abu Samah menjelaskan bahawa kepercayaan tersebut adalah mungkin sekadar cerita-cerita dari orang-orang tua dahulu yang percaya tongkat kayu benar-benar mempunyai sakti.

Turut menarik adalah kayu Nibung yang mampu melukakan tangan di sebalik kayunya yang bercorak dan berurat. Berbanding dengan tongkat-tongkat kayu yang lain, kayu Nibung adalah antara salah satu yang digemari kerana corak kayunya yang begitu indah. Begitu juga jenis tongkat kayu Serdang atau Pinang, yang urat atau corak semulajadinya seindah jenis kayu Nibung.

Kayu Serdang atau Pinang tidak kurang indahnya mempunyai corak kayu tertentu.
Kayu Serdang atau Pinang tidak kurang indahnya mempunyai corak kayu tertentu.
Tongkat kayu Madang Sisik yang dianggap sebagai raja kayu segala kayu oleh masyarakat Brunei.
Tongkat kayu Madang Sisik yang dianggap sebagai raja kayu segala kayu oleh masyarakat Brunei.
Kayu Nibung mempunyai corak urat semulajadi yang menarik.
Kayu Nibung mempunyai corak urat semulajadi yang menarik.

“Banyak lagi rahsia-rahsia di sebalik setiap jenis kayu yang melibatkan kepercayaan masyarakat tradisi kita, di samping kegunaannya pada masa kini. Setiap kayu adalah unik dan kerana uniknya itulah, tongkat sebenarnya boleh dicipta dari apa sahaja bahan kayu. Setentunya ia mempunyai nilai berbeza bagi setiap tongkat.”

Inovasi tongkat terkini

Dalam melakukan inovasi terhadap tradisi tongkat, Abu Samah menggunakan kreativitinya bagi menghasilkan tongkat dengan barangan-barangan terpakai seperti cakera padat, kad Easi dan lain-lain.

“Saya mempunyai idea tersebut apabila saya hendak membuang ratusan cakera padat yang tidak lagi digunakan. Apabila melihat sinaran sebalik cakera padat yang tersusun di jari saya, tiba-tiba datang idea untuk menjadikannya tongkat.”

Dalam sebuah cakera padat, menurut Abu Samah dapat dibahagikan kepada enam bulatan (sebesar 50 sen) yang kemudiannya disusun sejajar dan digam hingga mencapai 800 keping.

Selepas itu, barulah ia dibentuk seperti membentuk kayu. Inovasi ciptaan tongkat cakera padat Abu Samah ternyata mendapat respon yang memberangsangkan daripada pelanggannya, sehingga mereka sendiri datang ingin menempahnya. Dari cakera padat, Abu Samah kemudiannya menginovasikan lagi ciptaan tongkatnya ke kad Easi dan sebagainya.

Sehingga hari ini, Abu Samah telah mencipta lebih 3,000 tongkat yang beraneka bentuk dan bahan. Kebanyakkan pelanggan-pelanggannya adalah penggemar koleksi tongkat, tidak kurang juga mereka yang menggunakannya untuk aktiviti harian. Walau usia beliau sudah mencecah 60 tahun, tetapi ternyata daya kreativitinya tidak terbatas kepada tradisi kayu semata-mata tetapi juga berani melakukan perubahan dan inovasi melalui barang-barangan yang terpakai. Begitulah istimewanya tongkat ciptaan Abu Samah yang mempunyai keunikkan tersendiri.

ARTIKEL YANG SAMA