Isu Bashir tonjol kegagalan kuasa dunia – pakar

Isu Bashir tonjol kegagalan kuasa dunia – pakar

JOHANNESBURG/THE HAGUE, 17 Jun (AFP) – Keengganan Afrika Selatan untuk menyerahkan Presiden Sudan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah penghinaan terbaru ke atas tribunal yang berpangkalan di Belanda itu, menonjolkan kebergantungannya ke aras sokongan daripada kuasa-kuasa dunia untuk melakukan tugasnya, menurut para pakar.

Bashir, yang dikehendaki oleh ICC kerana dakwaan genosid, jenayah ke atas kemanusiaan dan jenayah perang di wilayah Darfur, Sudan, terbang ke Afrika Selatan Sabtu lepas untuk menghadiri kemuncak Kesatuan Afrika.

Berikutan ketibaannya di negara itu, kumpulan hak asasi manusia Afrika Selatan merujuk kepada mahkamah untuk cuba mendapatkan perintah bagi penahanan Bashir.

Bagaimanapun meskipun arahan mahkamah supaya Bashir terus kekal di negara itu sehingga permohonan itu didengari, pemimpin Sudan itu bertindak awal terbang pulang ke Sudan pada Isnin, dalam tamparan terbaru kepada ICC selepas ia dipaksa tahun lepas supaya membatalkan kesnya ke atas Presiden Kenya Uhuru Kenyatta.

Kerajaan Afrika Selatan “dengan mudah mengabaikan hakim, yang tidak boleh difikirkan di bawah penguat kuasa undang-undang,” kata Goran Sluiter, pensyarah undang-undang antarabangsa di Universiti Amsterdam.

Bangunan ibu pejabat Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda. – AFP
Bangunan ibu pejabat Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda. – AFP

Ramai mempersalahkan Majlis Keselamatan PBB, yang pada 2005 meminta ICC supaya menyiasat jenayah di Darfur, di mana kira-kira 300,000 orang terbunuh dalam konflik di antara Khartoum dan kebanyakannya adalah pemberontak kulit hitam Afrika, menurut anggaran PBB.

ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Bashir pada 2009, tetapi beliau terus membuat perjalanan tanpa dikenakan tindakan, termasuk ke negara-negara seperti Afrika Selatan menjadi anggota ICC, sekali gus membolehkannya ditahan di negara terbabit.