Isu beg udara: Honda hubungi pelanggan

Isu beg udara: Honda hubungi pelanggan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Happy Motoring Co. Sdn Bhd iaitu pengedar eksklusif kereta berjenama Honda di Negara Brunei Darussalam, menyatakan bahawa pihak syarikat telah menerima arahan daripada Honda Motor Co. Ltd mengenai kempen berjaga-jaga produk bagi pemeriksaan alat inflator beg udara penumpang hadapan bagi beberapa model kereta Honda yang terjejas.

Menurut kenyataan Happy Motoring hari ini, kereta Honda yang terjejas dalam kempen pemeriksaan bagi alat inflator beg udara penumpang hadapan berkenaan ialah Accord bagi model tahun 2003 hingga 2011, Odyssey bagi tahun 2004 hingga 2008, Jazz bagi tahun 2009 dan 2011, Civic bagi tahun 2009 hingga 2011, CR-V bagi tahun 2009 hingga 2011 serta City bagi tahun 2009.

Namun begitu, Happy Motoring menyatakan, pihak Honda Motor Co Ltd telah menasihatkan mereka bahawa langkah berjaga-jaga itu tidak menjejaskan sebarang model Honda yang dijual di Brunei pada masa ini.

Sehubungan dengan itu, semua pelanggan model kenderaan yang terjejas akan dihubungi oleh pihak Happy Motoring menerusi surat yang dihantar ke alamat mereka di mana surat itu akan mengandungi maklumat mengenai pengemaskinian produk berkenaan.

Para pelanggan yang menerima surat makluman itu, dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka ke Happy Motoring Co. Sdn Bhd untuk pemeriksaan dan mereka boleh menghubungi bahagian penyambut tetamu servis Happy Motoring di talian 2428328 sambungan 131/132 semasa waktu pejabat untuk membuat tempahan.

Pada masa yang sama, Happy Motoring juga menyeru para pemilik kenderaan Honda yang terjejas dengan panggilan balik alat inflator beg udara itu, untuk membawa kenderaan mereka bagi pemeriksaan dan menggantikan alat inflator berkenaan di Happy Motoring sebaik sahaja mereka menerima surat makluman.

ARTIKEL YANG SAMA