Isu dadah tanggungjawab bersama

Isu dadah tanggungjawab bersama

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Tanggungjawab menangani isu dadah haram bukan hanya terletak kepada sesebuah negara tetapi dengan kerjasama dari negara-negara lain di semua peringkat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Berucap pada Mesyuarat Commission on Narcotic Drugs (CND) kali ke-59 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Vienna beliau turut mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam mengamalkan pendekatan yang komprehensif dan seimbang iaitu melalui strategi pengurangan bekalan dan permintaan dadah dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah dengan tujuan untuk menjaga keamanan, keselamatan dan juga perkembangan sosio-ekonomi negara khususnya dalam melindungi golongan wanita, belia dan kanak-kanak.

Menurutnya, perkara ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-31 yang mana Baginda telah bertitah supaya semua lapisan masyarakat termasuk agensi-agensi kerajaan, orang ramai, ibu bapa, pihak sekolah, organisasi bukan kerajaan dan pemimpin akar umbi hendaklah bersatu dalam memupuk kesedaran dan menggandakan lagi usaha memerangi penyalahgunaan dadah.

Dato Paduka Haji Hamdan dalam ucapannya turut menekankan persetujuan yang telah dibuat oleh rakan-rakan menteri semasa Mesyuarat ke-3 Menteri-menteri ASEAN mengenai dadah bersetuju agar aspirasi serantau “Drug Free ASEAN’’ yang melambangkan komitment dan daya tahan ke arah ‘zero tolerance approach’ bagi memastikan rakyat dan penduduk dilindungi daripada penyalahgunaan dadah.

Dato Paduka Haji Hamdan ketika berucap semasa mesyuarat CND ke-59, di Ibu Pejabat PBB, Vienna.
Dato Paduka Haji Hamdan ketika berucap semasa mesyuarat CND ke-59, di Ibu Pejabat PBB, Vienna.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa buah negara di rantau lain telah mengamalkan reformasi polisi dadah yang membenarkan penggunaan dadah seperti ganja yang tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang.

Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa polisi dadah seperti ini tidak harus diwajibkan ke atas negara lain yang mempunyai kedaulatan dan pendirian masing-masing dengan mengambil kira pelbagai latarbelakang negara-negara dari segi politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh ahli-ahli PBB terdiri daripada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ketua-ketua jabatan bertangungjawab terhadap dadah haram.

Mesyuarat CND ini ditubuhkan melalui Resolusi 9(1) ECOSOC pada 16 Februari 1946 sebagai badan yang memantau dan meneliti dasar berhubung dengan dadah serta pelaksanaan ketiga-tiga konvensyen dadah iaitu Single Convention on Narcotic Drugs 1961, Convention on Psychotropic Substances 1971, dan United Nations Convention against Illicit Traffic in Narcotic Drugs and Psychotropic Substances 1988. Sesi mesyuarat pada tahun ini juga akan mengadakan mesyuarat sampingan bagi persiapan Sesi Khas Perhimpunan PBB Berkaitan Masalah New York, Amerika Syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA