Isu domestik selesai, ringgit akan stabil – Zeti

Isu domestik selesai, ringgit akan stabil – Zeti

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) – Ringgit akan stabil jika ketidaktentuan dasar-dasar ekonomi utama dan isu domestik selesai, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Apabila ketidaktentuan dan isu-isu domestik selesai, saya percaya trend mata wang akan lebih baik, mencerminkan asas kita yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku ketiga di sini hari ini.

Menolak persepsi bahawa isu-isu domestik menjadi faktor utama yang menyumbang kepada penurunan ringgit baru-baru ini, beliau berkata mata wang tersebut sebenarnya menerima kesan daripada faktor-faktor luaran.

Ini termasuk jangkaan perubahan dalam hala tuju dasar terutamanya oleh Rizab Persekutuan AS, kemerosotan harga minyak dunia dan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, katanya.

Zeti berkata beliau kecewa pasaran global tidak memberi pengiktirafan sewajarnya kepada hakikat bahawa Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang 80 peratus.

Bagaimanapun, asas yang kukuh, terdiri daripada trajektori pertumbuhan yang kukuh, lebihan akaun semasa dan lebihan dagangan, serta sistem kewangan yang teguh, akan membolehkan fleksibiliti untuk Malaysia menyerap kejutan, katanya.

Mengenai dengan pelaburan luar negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Zeti berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai lebih lanjut mengenainya sebaik sahaja semua maklumat yang diminta diperoleh dan disahkan, kata Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu, katanya, pelan penyusunan semula syarikat tersebut yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini juga akan diambil kira, sambil menambah sebarang penilaian yang dibuat sebelum itu dianggap sebagai terlalu awal.

“Jadi, BNM kini menilai maklum balas 1MDB kepada arahan pentadbiran ini, dan 1MDB telahpun menyatakan secara umum bahawa dana bagi penebusan pelaburan luar negara ini telah digunakan dan juga diperuntukkan bagi pertukaran hutang-bagi-aset sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula mereka.”

ARTIKEL YANG SAMA