Isu Galaxy Note7, DSTIncomm sokong inisiatif Samsung

Isu Galaxy Note7, DSTIncomm sokong inisiatif Samsung

pg01_160903_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Berikutan laporan-laporan mengenai masalah bateri pada Galaxy Note7 (gambar), Samsung menawarkan program penggantian bagi telefon pintar yang belum lama diperkenalkannya itu.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh DSTIncomm dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Selaku pengedar sah bagi peranti-peranti mudah alih Samsung di Brunei, DSTIncomm turut memaklumkan bahawa mereka menyokong inisiatif penggantian Samsung berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi yang dipetik oleh DSTIncomm, Samsung menjelaskan bahawa berikutan kes-kes yang dilaporkan mengenai Galaxy Note7, mereka telah menjalankan siasatan teliti dan mendapati isu pada sel bateri.

“Sehingga kini (setakat 1 September) terdapat 35 kes telah dilaporkan di seluruh dunia dan kami pada masa ini menjalankan pemeriksaan teliti dengan pembekal-pembekal kami untuk mengenal pasti bateri-bateri yang berkemungkinan terjejas di pasaran.

“Bagaimanapun, oleh sebab keselamatan pelanggan merupakan keutamaan mutlak Samsung, kami menghentikan penjualan Galaxy Note7.”

Oleh itu, menurut kenyataan rasmi Samsung itu lagi, bagi pelanggan yang telah mempunyai Galaxy Note7, mereka akan menggantikan peranti-peranti mereka dengan yang baru dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Arahan mengenai proses penggantian itu akan dikongsi minggu depan.

“Kami mengakui kesulitan yang boleh berlaku di pasaran tetapi langkah ini adalah untuk memastikan Samsung terus memberikan produk-produk berkualiti tinggi kepada pelanggan kami.

“Kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kami untuk memastikan proses penggantian semudah dan secekap yang mungkin,” menurut Samsung lagi.

Sementara itu, DSTIncomm dalam kenyataannya itu turut memberitahu bahawa mereka akan mengongsikan mengenai inisiatif penggantian Samsung berkenaan dengan pelanggan sebaik sahaja mereka menerima maklumatnya daripada Samsung.