Isu-isu glokal tumpuan Pertandingan ICT

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 April – Enam kumpulan pelajar Tingkatan Enam Atas, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong, baru-baru ini, telah mengikuti Pertandingan ICT dengan menampilkan video serta membuat pembentangan.

Dengan bertemakan Isu-isu Glokal (Glocal Issues) pada tahun ini, kumpulan-kumpulan pelajar daripada General Paper (GP) itu telah membentangkan beberapa isu global seperti kemiskinan, rasisme, stereotaip, diabetes, catfish dan penyalahgunaan dadah sambil menayangkan video mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan tersebut ialah Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.

Sebelum pertandingan, Pengetua PTE Tutong menerangkan kepentingan Pertandingan ICT kepada pelajar GP yang memberikan mereka peluang untuk menerokai isu-isu global di samping dapat melatih pelajar berfikiran ke hadapan sesuai dengan kemahiran hidup abad ke-21 tahun.

Pengetua PTE Tutong bergambar ramai bersama pelajar-pelajar PTE Tutong yang menyertai Pertandingan  ICT.
Pengetua PTE Tutong bergambar ramai bersama pelajar-pelajar PTE Tutong yang menyertai Pertandingan ICT.

Pertandingan telah dijuarai oleh kumpulan pembentang ‘Diabetes’ yang terdiri daripada Awang Muhd Danish Asrien bin Muhd Masri, Andrew Teo Kui Huang, Awang Muhammad Haziq bin Haji Imran, Awang Muhammad Izzuddin bin Ishak, Dayang Nur Amirah Syakirah binti Airwan, Dayang Nursyafiwah binti Sulhi dan Swee Kae Yie, yang menerima wang tunai $250 dan sijil penyertaan.

Sementara itu, tempat kedua jatuh kepada kumpulan ‘Penyalahgunaan Dadah’ dan menerima wang tunai $200 serta sijil penyertaan. Kumpulan ‘Racism’ pula memenangi tempat ketiga dengan menerima hadiah wang tunai $150 berserta sijil. Manakala itu, kumpulan-kumpulan lain menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai $80 dan sijil penyertaan.