Isu keselamatan perkapalan, marin diutamakan

Isu keselamatan perkapalan, marin diutamakan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Isu keselamatan dalam industri perkapalan dan marin terus diberikan keutamaan di kala harga minyak yang tidak menentu dan rendah memberi kesan terhadap industri tersebut.

Keselamatan para pekerja di laut terutama bagi mereka yang bertugas dalam industri marin akan terus diutamakan walaupun situasi ekonomi bagi industri berkenaan kurang memberangsangkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Bureau Veritas Brunei dan Malaysia, Ir Haji Othman bin Abdul Kadir ketika menyampaikan kata alu-aluannya pada Seminar Perkembangan Terkini Kelas dan Kanun anjuran Bureau Veritas yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Dalam hubungan itu, jelas Ir. Haji Othman lagi, seminar dihasratkan untuk memberikan peluang kepada wakil-wakil industri di Brunei untuk mengetahui mengenai dengan perkembangan terkini serta kanun yang diperkenalkan bagi industri marin.

Ir. Haji Othman menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Ir. Haji Othman menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Antara para peserta yang menghadiri seminar sehari itu.
Antara para peserta yang menghadiri seminar sehari itu.

Beliau turut menyentuh mengenai sejarah perkembangan Bureau Veritas dan juga program latihan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan bukan sahaja bagi industri perkapalan atau marin tetapi juga industri pemakanan, barangan pengguna serta persijilan.

Seminar tersebut juga dihasratkan untuk mempersiapkan para peserta dengan ilmu pengetahuan bagi perkembangan industri pada masa akan datang dan untuk mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi menghadapi perubahan itu nanti.

Lebih 30 orang wakil syarikat-syarikat industri marin dan perkapalan di Brunei, menghadiri seminar sehari itu, di mana mereka berpeluang untuk mengetahui perkembangan terkini dan kanun yang dilaksanakan dalam industri berkenaan.

Ia bukan sahaja menampilkan taklimat yang disampaikan oleh dua wakil dari Bureau Veritas mengenai perkembangan terkini industri marin, Awang Sabaruddin Mohd Jan dan David Wong Ing Siing, tetapi juga diserikan dengan sesi forum dan sesi soal jawab di akhir forum berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA