Isu kesihatan, keselamatan pekerjaan masih relevan

Isu kesihatan, keselamatan pekerjaan masih relevan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Pelbagai cabaran baru dan lama yang dihadapi selaras dengan perubahan landskap pekerjaan serta masyarakat membuktikan kesihatan dan keselamatan pekerjaan merupakan satu isu yang masih relevan pada masa ini.

Profesor Perubatan dan Kesihatan Pekerjaan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor David Koh berkata demikian ketika menyampaikan ceramah ‘Penyakit Pekerjaan dan Kesihatan Global’ semasa sesi pertama Bengkel Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan di PAPRSB IHS, UBD, hari ini.

“Walaupun terdapat pelbagai intervensi atau kaedah efektif bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja, sebilangan besar pekerja masih lagi terdedah kepada tahap risiko pekerjaan yang tidak boleh diterima,” Profesor David Koh berkata.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan penyelesaian bagi menangani masalah itu dan memastikan keselamatan serta kesihatan pekerja diberikan keutamaan menerusi kerjasama rentas sempadan, penglibatan pelbagai pihak di mana ia tidak terhad kepada pihak kesihatan sahaja, kreativiti, kepimpinan kesihatan global serta keinginan yang tinggi untuk memastikan matlamat itu tercapai.

Terdahulu, Profesor David Koh mendedahkan statistik global berhubungan kecederaan atau penyakit kepada pekerja di mana dalam perangkaan itu, kira-kira 317 juta orang pekerja cedera dalam kemalangan di tempat kerja menyebabkan mereka tidak dapat hadir bekerja lebih daripada empat hari.

Antara peserta bengkel empat hari itu.
Antara peserta bengkel empat hari itu.
Profesor David Koh memberikan penerangan semasa ceramahnya mengenai dengan kesihatan global dan penyakit pekerjaan.
Profesor David Koh memberikan penerangan semasa ceramahnya mengenai dengan kesihatan global dan penyakit pekerjaan.

Di samping itu juga, perangkaan 2008 juga menunjukkan sebanyak 2.34 juta orang meninggal dunia disebabkan kemalangan atau penyakit berkaitan dengan pekerjaan.

Dalam ceramah sesi pertama bengkel itu, Profesor David Koh membincangkan mengenai pelbagai pendekatan bagi mengawal, mencegah dan strategi pengurusan bagi kesihatan pekerjaan global.

Beliau juga membincangkan mengenai bebanan penyakit global disebabkan oleh persekitaran kerja yang kurang memuaskan.

Bengkel selama empat hari bermula hari ini hingga 11 Ogos itu dianjurkan oleh PAPRSB IHS dengan mengetengahkan para penceramah dari UBD, Jabatan Buruh dan Kementerian Kesihatan.

Bengkel itu merupakan bengkel kedua dan siri bengkel keselamatan dan kesihatan pekerjaan anjuran PAPRSB IHS selepas bengkel pertama pada 2015.

Bengkel empat hari itu disertai lebih 20 orang peserta terdiri daripada lepasan graduan dan sarjana UBD, pekerja sektor swasta dan pensyarah.

ARTIKEL YANG SAMA