Isu kesihatan mental perlu perhatian

Isu kesihatan mental perlu perhatian

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Isu kesihatan mental yang merupakan fenomena seluruh dunia turut menjangkiti rakyat Brunei Darussalam, dengan 11,000 orang telah didaftarkan sebagai pesakit masalah kesihatan mental di negara ini.

Lebih membimbangkan, catatan dan rekod menunjukkan bahawa lebih kurang 350 orang kanak-kanak dan remaja menerima rawatan kerana menderita masalah kesihatan mental seperti kemurungan, masalah emosi dan tingkah laku.

Isu ini adalah antara yang ditekankan dalam Ceramah Pendidikan Kesihatan anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang disampaikan oleh Pemangku Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Awang Zulkifli bin Haji Zakaria.

Hadir mendengar ceramah berkenaan selaku tetamu khas majlis yang berlangsung di Dewan Taalim, KUPU SB itu ialah Penolong Ra’es KUPU SB, Dr Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha. Turut hadir ialah para pegawai dan kakitangan KUPU SB.

Ketika ditemu bual media, Awang Zulkifli berkata, kesihatan dikaitkan dengan kehidupan dan orang yang sihat mudah melakukan aktiviti harian dan beribadat.

Awang Zulkifli sedang ditemu bual media.
Awang Zulkifli sedang ditemu bual media.

Bagaimanapun, sebagai manusia biasa kita juga diserang pelbagai penyakit, hanya membezakannya adalah penyakit serius atau pun tidak, penyakit kronik atau pun tidak, penyakit berjangkit atau pun tidak, namun semua orang tidak suka dan tidak mahu sakit.

Mengulas mengenai ceramah berkenaan, beliau berkata ia diadakan untuk melahirkan pendidik dan juga mua’lim yang mampu mengimbangi kesihatan rohani dan jasmani serta menjadi model peranan terbaik kepada para pelajar, di samping itu, membantu memenuhi visi Kementerian Kesihatan dan Pusat Promosi Kesihatan iaitu ‘Bersama Kearah Warga Sihat’ dan ‘Memperkasa Rakyat Ke Arah Kehidupan Sihat’.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan dan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah memberikan kerjasama bagi menjayakan program informasi kesihatan bagi warga KUPU SB.

Ceramah yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan menjalani cara hidup sihat dalam kalangan warga KUPU SB itu juga diselajurkan dengan sesi pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan dan kempen menderma darah yang dikendalikan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan dan JPMC.

Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar ketika ditemu bual menyatakan, acara tersebut merupakan salah satu inisiatif KUPU SB dalam mengadakan beberapa aktiviti kesihatan untuk memantau dan menggalakkan warga KUPU SB supaya terus hidup dengan kesihatan yang mantap supaya mereka boleh hidup dengan lebih ceria, lebih efektif, inovatif dan bersemangat.

Tambahnya, sekarang ini KUPU SB sedang merancang untuk mengadakan aktiviti mingguan, di mana dalam perancangan itu, setiap fakulti diharuskan untuk menyertai aktiviti tersebut bagi mendorong warga lainnya lebih bersemangat mengikutinya.

Juga akan diadakan ialah ceramah bengkel kesihatan menurut Islam yang akan berlangsung pada 27 April ini di Bilik Taklim, KUPU SB.

Pada acara tersebut, kempen menderma darah telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu bagi JMPC pada sebelah pagi, dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada sebelah petang.

Salah seorang kakitangan JPMC, Romeo Tabios ketika ditemu bual Media Permata pada sesi menderma darah tersebut berkata, setiap bulan JPMC berjaya mengumpulkan sebanyak 200 pain darah, di mana kesemua darah yang terkumpul kebanyakannya digunakan bagi para pesakit strok, kanser dan sebagainya.

“JPMC juga mengalu-alukan orang ramai untuk menderma darah bagi membantu memenuhi keperluan stok darah JPMC.”

Menurutnya, stok darah di JPMC pada ketika ini masih lagi mencukupi dan beliau berharap kempen berkenaan akan dapat meningkatkan lagi stok darah bagi mengelakkan daripada kekurangan darah untuk para pesakit.

ARTIKEL YANG SAMA