Isu kesihatan mesej pidato

Isu kesihatan mesej pidato

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Dengan mengetengahkan hujah-hujah yang menarik dalam pidato bertajuk ‘Hamil Muda: Bersediakah Aku Untuk Bertanggungjawab?’, Dayangku Nurhannie binti Pengiran Julkipli dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal dinobatkan sebagai peserta pidato terbaik Pertandingan Pidato Antara Pra-Universiti dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Sempena Hari Kesihatan Sedunia 2016 Peringkat Akhir.

Beliau yang juga merupakan juara Kategori Perempuan membawa pulang Piala Pusingan dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan anjuran Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum ialah Pemangku Penguasa Perubatan, Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Ong Sok King.

Terdahulu Pegawai Perubatan Kanan Gred I, Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa isu-isu yang diketengahkan oleh para peserta pertandingan itu seperti isu pemakanan sihat, penggunaan tembakau, kegiatan fizikal, penjagaan kesihatan mental dan kehamilan remaja, merupakan isu-isu yang sememangnya memerlukan perhatian dan penekanan daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Dr. Ong Sok King menyampaikan piala pusingan kepada Dayangku Nurhannie.
Dr. Ong Sok King menyampaikan piala pusingan kepada Dayangku Nurhannie.
Aksi Awang Mohammad Arif Al-Haziq, johan kategori lelaki dalam pertandingan itu.
Aksi Awang Mohammad Arif Al-Haziq, johan kategori lelaki dalam pertandingan itu.

“Ini jelas dilihat daripada statistik mengenai isu-isu berkenaan yang diperolehi oleh pihak Kementerian Kesihatan yang cukup merisaukan.”

Dr. Hajah Norhayati berkata, “Menurut Kaji Selidik Global Kesihatan Sekolah (Global School-based Health Survey) yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2014, dalam kalangan penuntut yang berumur 13-17 tahun, lebih separuh, iaitu 52.6 peratus remaja mempunyai berat badan berlebihan dan obes.

“Kaji selidik ini juga mendapati 46.4 peratus remaja sekurang-kurangnya meminum minuman berkarbonat (bergas), sekali dalam sehari. Ini sememangnya membimbangkan kerana satu tin minuman berkarbonat lazimnya mengandungi 9 hingga 12 sudu teh gula.

“Manakala, 87.3 peratus orang remaja didapati tidak memenuhi saranan Garis Pandu Kegiatan Fizikal Kebangsaan bagi kanak-kanak dan remaja selama 60 minit setiap hari. Dari segi kesihatan mental pula, 21.1 peratus remaja pernah dibuli dalam tempoh satu bulan kebelakangan.”

Manakala itu, ulasnya lagi, Kaji Selidik Global Penggunaan Tembakau dalam Kalangan Remaja (Global Youth Tobacco Survey) 2013, telah menunjukkan 10.2 peratus remaja berumur 13 – 15 tahun merokok dan 80 peratus daripada mereka pernah cuba untuk berhenti merokok serta hampir 40 peratus remaja pula terdedah kepada asap rokok pasif di rumah mereka.

Oleh itu, beliau menekankan bahawa faktor-faktor risiko berkenaan perlu ditangani daripada peringkat awal lagi, oleh semua pihak yang terlibat termasuklah para pelajar dan remaja itu sendiri.

Beliau percaya melalui pertandingan seperti ini, para pelajar dan remaja berpeluang untuk mengadvokasi dan mengongsi mesej-mesej kesihatan serta saranan yang bermanfaat dan mudah diterima sesama mereka sendiri.

Dalam peringkat akhir pertandingan itu, empat peserta lelaki dan empat peserta perempuan beraksi untuk menentukan juara bagi kategori lelaki dan kategori perempuan serta juga juara keseluruhan peserta pidato terbaik.

Bagi kategori lelaki, juara disandang oleh Awang Mohammad Arif Al-Haziq bin Haji Abdul Rahman dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah dengan membawa pidato bertajuk Buat Pilihan Bijak, Lindungi Diri Dari STI, tempat kedua jatuh kepada Awang Mohammad Ridzuan bin Haji Budiman dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, tempat ketiga ialah Awang Mohammad Muaz bin Mahdi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan tempat keempat ialah Awang Mohammad Radzuwan bin Sahat dari IBTE Kampus Sultan Bolkiah.

Bagi kategori perempuan, tempat kedua jatuh kepada Dayang Nur Fadhlin Najihah binti Haji Mohammad Yussof dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, tempat ketiga ialah Dayang Siti Noriffah binti Zulkipli dari IBTE Kampus Jefri Bolkiah dan tempat keempat ialah Dayang Siti Norkalbi binti Haji Mohd Seruddin dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Pertandingan Pidato 2016 itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 bertemakan ‘Diabetes’ yang disambut pada 7 April setiap tahun.

Ia merupakan salah satu projek yang dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan Radio Televisyen Brunei di mana pertandingan bagi 2016 membawa tema Gaya Hidup Sihat, dan dibukakan kepada pelajar-pelajar peringkat pra-universiti, maktab teknik dan sekolah vokasional seluruh negara.

Peringkat saringan bagi pertandingan itu telah diadakan di Jabatan Pendidikan Kokurikulum pada 4 Mei lalu di mana seramai 17 orang peserta menyertai pertandingan dan daripada jumlah itu, empat orang peserta lelaki dan empat orang peserta perempuan dipilih untuk beraksi di peringkat akhir.

Pertandingan itu adalah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan dalam kalangan para pelajar terhadap amalan dan penjagaan kesihatan supaya perkara itu terus menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan serta melahirkan sebuah masyarakat yang cergas dan aktif tidak kira peringkat umur dan taraf hidup dan mempunyai keseimbangan fizikal, rohani, sosial dan mental.

ARTIKEL YANG SAMA