Isu PATI perlu ditangani

Isu PATI perlu ditangani

Oleh Arissa

 

KOTA KINABALU, 1 Nov (Bernama) – Masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabahmerupakan isu nasional yang perlu diberi perhatian untuk dibincang dan diselesaikan secara bersama, kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata, isu PATI di negeri ini merupakan masalah paling besar dan kompleks yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk meneliti perkara itu sekali gus menyelesaikannya.

“Saya berterima kasih dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana prihatin dalam menangani masalah PATI ini dengan mewujudkan sebuah badan bebas khas iaitu Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI (RCI) yang bertindak mengkaji dan seterusnya menyelesaikan masalah ini.

“Namun isu ini juga merupakan tanggungjawab bersama kerana masalah iniadalah isu nasional dan sebab itu perbincangan untuk mencari penyelesaian haruslah melibatkan semua pihak dan kalau boleh libatkan pembangkang kerana objektif kita hanya satu iaitu penyelesaian ke atas masalah PATI yang semua rakyat di Sabah merasai implikasinya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan tritahunan PBRS dekat sini, hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Najib dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Kurup yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, isu PATI perlu ditangani segera kerana timbul perpecahan dalam aspek sosial dan ekonomi selain mewujudkan rasa tidak puas dalam kalangan penduduk tempatan terhadap PATI.

Dalam hal ini, beliau berkata perjuangan dan pendirian PBRS dan seluruhrakyat Sabah untuk membendung masalah PATI adalah jelas dengan menentang Projek IC.

“Kami bukan menentang migrasi yang berlaku di Sabah tetapi asalkan migrasi itu adalah melalui peruntukan undang-undang yang sah,” katanya.