Isu penarikan atlet renang, ambil iktibar

Isu penarikan atlet renang, ambil iktibar

PENGUMUMAN Dayang Tiara, atlet renang negara untuk menamatkan biasiswa Majlis Olimpik Antarabangsa dan seterusnya menarik diri daripada acara renang di Sukan Olimpik Musim Panas Rio 2016 awal bulan ini pada mulanya mengejutkan.

Tetapi setelah lama difikirkan, isu ini sebenarnya sangat menyedihkan dan menampakkan lagi kepincangan persatuan sukan kita terhadap perancangan dan pengurusan sukan, khususnya sukan renang.

Apa tidaknya, sesudah enam bulan dilepasi, barulah pengumuman penarikan diri ini dibuat setelah berlangsungnya publisiti penganugerahan biasiswa tersebut dilaksanakan dengan Dayang Tiara diwakili oleh bapanya menerima anugerah berprestij itu.

Sebanyak AS$6,000 dibelanjakan untuk menampung kebajikan dan latihan beliau, fokus diberikan namun pada hakikatnya, kita sudah kesuntukan masa untuk mencari atlet lain, meskipun beliau mencadangkan Christian Nikles untuk menjadi pengganti.

Tiga bulan yang berbaki sebelum bermulanya Sukan Olimpik Musim Panas di Rio de Janeiro merupakan satu tugasan yang begitu rumit untuk diselami dalam pemikiran Awang Christian apatah lagi persediaan fizikal yang perlu dilakukan.

Persatuan Renang Amatur Brunei, ringkasnya BASA, seharusnya memantau persiapan Dayang Tiara sambil mengemas kini dan mengatasi sebarang masalah yang melanda.

Di samping itu, pada masa yang sama, pengganti beliau seharusnya sudah disediakan sekiranya beliau menghadapi masalah dalam persiapan. Nama Persatuan, apatah lagi imej Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC) terpaksa menanggung risiko dan tindak balas daripada kritikan peminat sukan renang terhadap penarikan diri Dayang Tiara pada saat-saat akhir persiapan.

Sukan Olimpik Musim Panas adalah salah satu acara dalam kalendar sukan antarabangsa, diadakan setiap empat tahun sekali, pada hakikatnya tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapapun kerana ia bukan kerap berlaku dalam kehidupan termasuk negara kita.

Seharusnya pihak-pihak yang terlibat secara langsung perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada isu ini agar ia tidak akan berulang lagi dalam mana-mana kejohanan-kejohanan sukan bertaraf antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada masa akan datang. Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA