Isu pendatang: Tiga negara berbincang

Isu pendatang: Tiga negara berbincang

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Indonesia bagi membincangkan isu pergerakan manusia tidak mengikut saluran undang-undang khususnya pemerdagangan manusia.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Menteri Luar Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi akan menghadiri mesyuarat di Putrajaya pada Rabu ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan negara berkaitan dan juga masyarakat antarabangsa dalam menyelesaikan isu itu di rantau ini.

“Malaysia akan terus berusaha mencari penyelesaian terhadap isu ini menerusi, antara lain, usaha bersepadu dengan negara-negara sumber, transit dan destinasi,” menurutnya.

Dalam pada itu, Thailand memberkas dalang rangkaian pemerdagangan manusia hari ini, terbaru dalam tangkapan ke atas tindakan keras pemerdagangan manusia yang mencetuskan krisis kemanusiaan di lautan rantau ini.

Anwar Sah, budak lelaki Rohingya berusia tiga tahun dari Myanmar, diambil gambarnya di semasa proses identifikasi polis Indonesia di kawasan perlindungan sementara di kawasan pelabuhan nelayan Kuala Langsa, wilayah Aceh, 18 Mei. Beratus-ratus pendatang dari Myanmar dan Bangladesh berlindung sementara di sana selepas diselamatkan oleh nelayan Indonesia. – AFP
Anwar Sah, budak lelaki Rohingya berusia tiga tahun dari Myanmar, diambil gambarnya di semasa proses identifikasi polis Indonesia di kawasan perlindungan sementara di kawasan pelabuhan nelayan Kuala Langsa, wilayah Aceh, 18 Mei. Beratus-ratus pendatang dari Myanmar dan Bangladesh berlindung sementara di sana selepas diselamatkan oleh nelayan Indonesia. – AFP

Polis Diraja Thai mengatakan suspek Patchuban Angchotipan, bekas pegawai di wilayah kerajaan selatan Satun, merupakan ketua rangkaian pemerdagangan manusia terbesar.

“Di wilayah Satun, dia adalah orang paling tinggi,” kata ketua polis kebangsana Thailand, Jeneral Somyot Poompanmuang. “Dia adalah ketua. Dia ramai anak buah.’

Patchuban yang nama samarannya ialah ‘Kor Tong’ sudah didakwa dengan pelbagai kesalahan termasuk pemerdagangan manusia, menyeludup pekerja penghijrah ke dalam Thailand, penahanan yang lain sehingga membawa kepada kecederaan tubuh badan dan menculik orang untuk wang tebusan. Dia bagaimanapun menafikan tuduhan ke atasnya.

Kira-kira 2,500 pendatang sudah pun mendarat di Malaysia dan Indonesia dalam masa beberapa minggu lalu, manakala sekitar 5,000 lagi masih lagi terkandas dalam bot usang di lautan dengan bekalan makanan dan air yang semakin berkurangan.

Malaysia, Indonesia dan Thailand sudah mengusir atau menunda bot penuh pendatang ini dari pesisir pantai mereka, dalam apa yang diterangkan oleh Organisasi bagi Penghijrah sebagai ‘maritim pingpong dengan nyawa manusia.’

Rundingan menteri di Malaysia Rabu ini akan memfokuskan pemerdagangan manusia dan penyeludupan manusia di rantau itu, menurut kenyataan kementerian luar Malaysia.

Pegawai kementerian luar Thailand dan Indonesia tidak dapat mengulas segera mengenai jangkaan daripada mesyuarat itu. – Bernama/Reuters

ARTIKEL YANG SAMA