Isu pengangguran perlu dilihat menyeluruh

Isu pengangguran perlu dilihat menyeluruh

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Pendekatan yang diambil dalam menangani isu pengangguran hendaklah dilihat secara menyeluruh dan melibatkan semua sektor.

Bagi sektor minyak dan gas, ia lebih jelas memandangkan data-data yang sudah tersedia ada menjadi asas penting kepada usaha-usaha proaktif dalam menubuhkan inisiatif-inisiatif strategik yang berkesan, manakala itu, dalam sektor tenaga, rangka kerja kompetensi industri tenaga (EICF) adalah hasil kerjasama yang rapat antara kerajaan dan pihak industri tenaga, dan ia diterajui dan diperkasa (empower) sendiri oleh pihak industri.

“Insya Allah inisiatif proaktif ini akan dilaratkan ke industri bukan minyak dan gas seperti industri pembinaan, pelancongan dan pengurusan hospitaliti melalui rangka kerja kompetensi industri (atau industry Competancy Framework).”

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohammad Jaafar mengenai isu tentang bagaimana kerajaan merancang untuk menangani kadar pengangguran di negara ini untuk memastikan graduan dalam mendapatkan pekerjaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin ketika menjelaskan perkara tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin ketika menjelaskan perkara tersebut.

pg01_160309_MMN-_LogoPada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) petang tadi itu Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah juga telah mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan badan tenaga kerja bagi merancang dan mengurus keperluan tenaga kerja di Brunei Darussalam bagi jangka pendek dan panjang.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri juga memberitahu bahawa pihak kerajaan telah mengungkayahkan skim-skim tertentu seperti National Energy Graduate Apprentice Scheme (NEGAS) iaitu skim yang telah diperkenalkan sejak bulan Julai 2014 bagi pencari kerja yang berkelulusan peringkat HND ke atas.

Jelasnya, skim ini direka bagi memberikan pendedahan suasana pekerjaan yang sebenar bagi membolehkan peserta mempelajari dan meningkatkan kemahiran teknikal serta swap skill selama 12 bulan di syarikat-syarikat minyak dan gas. Setakat ini, seramai 28 orang telah berjaya mendapat pekerjaan tetap daripada 59 orang perintis.

Satu lagi skim adalah, Skim Biasiswa Syarikat Hengyi Industry Sdn Bhd yang diungkayahkan pada tahun 2014, Yang Berhormat Pehin berkata, ia adalah satu usaha proaktif dalam memastikan syarikat-syarikat tersebut mempunyai tenaga kerja tempatan tersedia ada, apabila syarikat tersebut beroperasi pada tahun 2019.

“Setakat ini, seramai 44 orang mahasiswa jurusan kejuruteraan telah mengikuti skim biasiswa ini dan juga melibatkan kolaborasi antara Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Zhejiang, China” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, satu badan khas juga telah dicadangkan untuk ditubuhkan iaitu Majlis Perancangan Tenaga Manusia Kebangsaan bagi membentuk dasar perancangan sumber tenaga manusia secara menyeluruh.

Majlis ini, katanya, dalam proses penubuhan di dalam masa yang terdekat di bawah Jabatan Perdana Menteri.

ARTIKEL YANG SAMA