Isu pusingan U dibangkitkan

Isu pusingan U dibangkitkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 3 Ogos – Kesukaran yang dihadapi penduduk kampung dan pengguna jalan raya utama kawasan Kampung Sungai Liang menuju ke Lumut yang terpaksa menggunakan pusingan U yang jauh, merupakan antara isu yang dibangkitkan pada Majlis Perjumpaan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait bersama Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung dan Ketua-ketua Rumah Panjang Daerah Belait bagi suku tahun kedua 2016 yang diadakan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Daerah Polis Belait Panaga, di sini, hari ini.

Penghulu Mukim Liang dan pemangku ketua Kampung Sungai Liang, dalam majlis tersebut, telah menyuarakan kesukaran yang dihadapi pengguna-pengguna jalan berkenaan yang terpaksa berpusing jauh apabila menggunakan Jalan Sungai Liang hendak menuju ke jalan lama Kampung Lumut.

Untuk mengatasi perkara itu, mereka mencadangkan supaya simpang jalan lama Liang Lumut yang berdekatan dengan Sekolah Politeknik Lumut, dibuka dan dijadikan kawasan jalan pusing keliling, atau dipasangkan lampu isyarat, bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan pengguna-pengguna jalan Lumut Liang.

Sehubungan itu, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin bin Haji Jafaruddin menyatakan akan mengarahkan pegawai siasatan lalu Lintas Daerah Polis Belait bersama pegawai penguasa Balai Polis Sungai Liang, untuk membuat laporan mengenai kawasan yang dimaksudkan dan seterusnya menghadapkan laporan itu kembali kepadanya, bagi tindakan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Belait, untuk dibincangkan dan tindakan selanjutnya.

Majlis perjumpaan yang dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait itu antara lain bertujuan untuk memberikan penerangan dan berkongsi maklumat mengenai kes-kes jenayah dan kemalangan lalu lintas yang berlaku dari awal bulan April hingga Jun bagi suku tahun kedua 2016.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pegawai Daerah Belait yang turut hadir dalam majlis perjumpaan itu.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pegawai Daerah Belait yang turut hadir dalam majlis perjumpaan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad juga Ketua Kampung Lumut 1 dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin yang juga Ketua Kampung Mumong, serta Pemangku Penghulu Mukim Melilas, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Muhd Ali bin Abdullah Hitam.

Hadir sama ialah Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Polis Belait, DSP Gina See Yok Gan; Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin; Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, P/ASP Muhammad Wafiy bin Zakaria; Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria P/ASP Haji Helmi bin Haji Abdullah; Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Soffian bin Haji Kifli dan Pegawai Penguasa Polis Keselamatan Padang Minyak, Inspektor Haji Kiffli bin Lidus.

Pada majlis itu, taklimat mengenai statistik kes jenayah dan kemalangan serta kesalahan lalu lintas yang berlaku di Daerah Belait masing-masing disampaikan oleh P/ASP Muhd Wafiy bagi taklimat Balai Polis Kuala Belait, dan taklimat bagi Balai Polis Seria disampaikan oleh P/ASP Haji Helmi, manakala itu, taklimat bagi Balai Polis Sungai Liang disampaikan oleh Inspektor Mohd Soffian dan dari Balai Polis Labi pula telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Labi, Staf Sarjan Zanidi bin Haji Lamat.

Majlis turut membincangkan tentang aktiviti rondaan pencegahan jenayah gandingan pasukan polis bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan yang sudah dilaksanakan dari awal tahun 2016.

Selain itu, membincangkan aktiviti yang telah dirancang dan akan dijalankan seterusnya pada pertengahan hingga hujung tahun ini, turut dimuatkan juga ialah sesi dialog berkenaan perkongsian maklumat jenayah serta bertukar-tukar fikiran serta pandangan terhadap menangani pencegahan kes-kes kesalahan jenayah dan sebagainya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil pertolongan cemas kepada tiga orang anggota polis dan 20 orang ahli pengawasan kejiranan Daerah Belait yang telah menyertai kursus pertolongan cemas di Pusat Latihan Polis Gadong baru-baru ini, yang talah disampaikan oleh Supt. Ariffin. Sesi bergambar ramai telah mengakhiri majlis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA