Isu rumah mampu milik bakal ditangani

Isu rumah mampu milik bakal ditangani

KUCHING, 27 Nov (Bernama) – Bermula tahun depan, masalah harga rumah yang mahal di Sarawak dijangka ditangani apabila dasar perumahan baharu dilaksanakan, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata apabila cadangan berkaitan dasar serta garis panduan perumahan mampu milik diperakukan oleh kabinet negeri dan dikuatkuasakan menjelang tahun depan, harga rumah di Sarawak akan banyak berkurangan.

Abang Johari berkata sebuah rumah teres dua tingkat di Kuching dijual pada harga RM550,000 seunit manakala di Bintulu pula berharga RM655,000.

“Di bawah dasar perumahan baharu ini, harga bagi rumah kos rendah akan berada bawah RM200,000 seunit tetapi unitnya lebih besar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abang Johari berkata isu dan cabaran utama dalam sektor perumahan di negeri ini termasuk pemaju swasta tidak berminat membina rumah kos rendah dan sederhana rendah disebabkan paras keuntungan yang rendah serta kos subsidi silang yang tinggi bagi perumahan biasa.

Ini, kata Abang Johari, mengakibatkan harga rumah meningkat terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar, menjadikan rumah tidak mampu dimiliki meskipun oleh golongan berpendapatan sederhana.

Beliau berkata purata harga rumah di Sarawak meningkat dengan ketara, namun beliau menegaskan bahawa peningkatan pendapatan isi rumah tidak meningkat pada kadar yang sama.

“Justeru, isu mampu milik dan tekanan berkaitan perumahan menyelubungi sebahagian besar masyarakat, terutamanya di bandar raya besar seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.

“Peningkatan pendapatan sederhana di Sarawak dari 2009 hingga 2015 adalah pada purata tujuh hingga sembilan peratus, bagaimanapun indeks harga rumah di negeri ini dari 2011 hingga 2013 meningkat dengan ketara daripada 10 peratus kepada 15 peratus,” katanya.