Isu telur palsu tidak benar

Isu telur palsu tidak benar

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Sudah menjadi adat resam bagi peniaga-peniaga yang namanya semakin meningkat dan dikenali ramai akan menerima dugaan serta cabaran dalam menempuhi perniagaan mereka.

Inilah juga yang dialami oleh salah sebuah restoran soto yang dikenali ramai dan namanya semakin meningkat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini, Restoran Soto Pabo yang baru-baru ini difitnah kerana menghidangkan telur palsu kepada pelanggannya yang kini viral di laman media sosial.

Hari ini, Media Permata berkesempatan menemu bual Pengusaha Restoran Soto Pabo, Pengiran Haji Abu Bakar bin Pengiran Haji Othman yang menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak benar dan meyakinkan lagi bahawa mereka tidak menghidangkan telur bulat kepada pelanggan seperti gambar yang disebarkan melalui laman sosial.

Beliau tenang menerima berita tersebut kerana menurutnya beliau percaya bahawa setiap peniaga sudah setentunya menerima nasib yang serupa dan perlu bersedia awal dari segi fizikal dan mental dalam menempuh dugaan yang akan datang demi mempertahankan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya lagi, mereka hanya mampu bersabar dan perlu menerima dugaan yang diterima.

Restoran Soto Pabo masih lagi mendapat tempat di hati pelanggan.
Restoran Soto Pabo masih lagi mendapat tempat di hati pelanggan.

Namun begitu, beliau menasihati peniaga-peniaga lain agar tidak berputus asa, sentiasa bersemangat dalam meraih rezeki perniagaan dan sentiasa berfikiran positif.

Selepas menerima berita palsu tersebut, Pengiran Haji Abu Bakar memberitahu, pekerjanya yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja tempatan merasa tertekan dan emosi kerana berita tersebut boleh membabitkan pekerjaan mereka.

Namun dengan sikap positif, beliau memberikan motivasi dan semangat mereka untuk bekerja kerana berita tersebut adalah rekaan semata-mata.

Pengiran Haji Abu Bakar menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Negara Brunei Darussalam amat bijak menilai dan memantau barang-barang kemasukan di negara ini, dan tidak wajar telur palsu itu dijual dan mudah dibawa masuk ke negara ini.

Menurutnya lagi, restoran mereka lebih mementingkan kualiti pekerja dan kualiti makanan yang terhidang adalah segar yang mudah didapati di pasaran tempatan.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai terutama pelanggan-pelanggan setianya dan kawan-kawan yang memberikan semangat dan sokongan terhadap perkembangan restorannya.

Setelah hampir setahun menjalankan perniagaannya di Kampung Pintu Malim, Kota Batu, Restoran Soto Pabo terus mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau berharap Restoran Soto Pabo akan dapat memberikan layanan terbaik kepada pelanggan-pelanggannya dan mendoakan perniagaannya akan berkembang dan berjaya pada tahun yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA