Isytihar produk skrin ‘selamat’

Isytihar produk skrin ‘selamat’

BERLIN, 6 Sept (AFP) – Apabila semakin sukar untuk kita mengalih tumpuan daripada telefon pintar, televisyen, tablet atau komputer, kebimbangan semakin meningkat berhubung cahaya biru yang keluar daripada skrin mereka, yang bertanggungjawab merosakkan retina dan menyebabkan gangguan tidur.

Syarikat elektronik sedang menukar krisis kepada peluang – segera mengisytiharkan produk terbaru mereka mempunyai skrin yang “selamat.”

Pada pameran elektronik pengguna IFA di Berlin, syarikat Belanda Philips sedang mempamerkan satu teknologi baru untuk skrin komputernya bergelar “SoftBlue,” yang didakwanya lebih lembut untuk retina.

“Kami sedang mengalih frekuensi cahaya biru yang memudaratkan, yang kurang daripada 450 nanometer, kepada lebih 460 nanometer,” kata pengarah pemasaran Philips Stefan Sommer.

Jenama lain seperti Asus dan BenQ, serta firma Amerika ViewSonic, juga telah menggunakan skrin “selamat” sebagai faktor pelaris baru mereka.

“Kami diberitahu oleh ibu bapa pada usia awal bahawa terlalu banyak masa skrin, di depan TV atau komputer, adalah tidak baik. Maka satu skrin yang “selamat” mungkin dapat diterima oleh pengguna,” kata Paul Gray, penganalisis di HIS Global Insight.

Disebabkan ia menghasilkan kekuatan cahaya yang agak tinggi daripada jumlah tenaga yang rendah, diod pemancar cahaya (LEDs) digunakan untuk menerangi telefon pintar, televisyen atau komputer. Namun masalah adalah sinar biru yang dipancarkan pada masa yang sama, yang dikhuatiri menimbulkan kesan kesihatan yang serius.

ARTIKEL YANG SAMA